July 27, 2024

Tiada kompromi terhadap sentimen perkauman di Malaysia-PM

Tiada kompromi terhadap sentimen perkauman di Malaysia-PM



am@hmetro.com.my

Penampang: Kerajaan Madani menolak sekeras-kerasnya sentimen perkauman dan berunsur keagamaan yang cuba dimainkan pihak tertentu di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sedar ada pihak cuba menggunakan sentimen sempit itu hingga boleh menjejaskan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Kata beliau, selagi kerajaan pimpinannya ada, tiada ruang untuk sentimen berkenaan dibiarkan berleluasa dan menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap perkara seumpama itu.

Beliau berkata, atas perkara itu juga, beliau memenuhi undangan untuk menyempurnakan Majlis Penutupan Pesta Kaamatan di Sabah hari ini, sebagai tanda sokongan terhadap kepentingan semangat kesatuan pelbagai kaum.

“Saya mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas kesudian kerajaan negeri dan jawatankuasa penganjur menjemput saya hari ini.

“Saya menganggap ini bukan saja penghormatan tapi tanda kerjasama erat kerajaan negeri dan Persekutuan serta sikap terbuka kita memuliakan kepelbagaian kebudayaan yang indah di negara kita termasuk pada sambutan Kaamatan.

“Tapi kita harus waspada kerana masih ada unsur yang membawa sentimen perkauman dan suku kaum seperti dilihat dalam pertempuran politik di Semenanjung, ada yang mengheret sikap perkauman sempit menolak kehadiran hak kaum lain.

“Ada yang memainkan sentimen agama hingga menganggap semua yang lain tidak berharga,” katanya pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2024 di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Persekutuan berpegang kepada prinsip perlembagaan yang jelas mengenai soal agama, budaya dan bahasa setiap kaum.

Katanya, kerajaan pimpinannya tidak mungkin akan memungkiri jaminan itu, malah ia dianggap sebagai kekuatan negara berbilang kaum yang harus sentiasa dipelihara.

“Kerajaan menjamin setiap hak rakyat negara ini mesti dilindungi. Saya terus tekankan ini kerana gerakan seperti ini masih ada walaupun sudah enam dekad dan ini tidak boleh ditoleransi,” katanya.

Beliau menekankan bahawa kerajaan terbuka terhadap sebarang kritikan atau mendengar usul daripada semua pihak walaupun perkara yang sukar tetapi tidak boleh menyentuh soal menghina kaum dan agama.

“Sebab itu saya pilih hadir dalam Pesta Kaamatan, pertama budaya segar, budaya indah di seluruh Malaysia. Malah sambutan dibuat Jabatan Perdana Menteri tidak pernah kita tinggalkan daripada suku Kadazandusun Murut, kita sentiasa masukkan identiti Malaysia, ada Melayu, Cina, India, Kadazandusun, Dayak dan pelbagai suku kaum lagi,” katanya.

tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top