SEGAMAT: Geran tahunan yang diterima Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara akan ditingkatkan kepada RM10,000 berbanding RM6,000 setahun, sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan pengumuman itu merupakan penghargaan kepada anggota KRT yang menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi menjaga keselamatan penduduk serta kawasan setempat.
“Perdana Menteri Malaysia menjaga satu negara, bukan rukun tetangga sahaja tetapi kali ini saya setuju tingkatkan peruntukan kepada rukun tetangga.
“Ini kerana selama 10 tahun untuk KRT hanya diberi RM6,000. Jadi kali ini saya setuju menambah peruntukan daripada RM6,000 kepada RM10,000 untuk semua KRT satu Malaysia.
“Ini kerana laporan kewangan dan kegiatan KRT dalam tempoh satu, dua bulan ini sampai sasarannya. Peruntukan RM10,000 itu akan disalur mulai 1 Januari 2027. Ini selain daripada RM50 juta geran sebelum ini, jadi yang ini kita tambah lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Madani Kita bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Dataran Segamat dan Program Jom Makan Durian di Taman Yayasan, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan merangkap Ahli Parlimen Segamat, R. Yuneswaran.
Tambah beliau, KRT dijayakan dengan semangat perpaduan apabila rakyat berbilang kaum di negara ini bersama-sama menjaga keamanan dan keselamatan kawasan kampung dan juga perumahan.
“Mana ada negara di dunia ini yang pelbagai kaum dapat duduk aman seperti ini terus-menerus. 70 tahun begini walaupun ada sedikit peristiwa 13 Mei tetapi secara umumnya majoriti rakyat mahu keadaan aman.
“Rukun tetangga ini tidak dihebahkan, besar tetapi rakan-rakan dalam KRT tahu macam mana hendak menghidupkan demokrasi dan musyawarah, bagaimana menghidupkan semangat perpaduan.
“Selain itu, bagaimana hendak menangani masalah jenayah, masalah di kampung, di desa dan lorong-lorong bandar. Itu semestinya penyertaan daripada rakyat dari peringkat bawah, memudahkan kerja polis, memudahkan kerja jabatan, memudahkan kerja pegawai-pegawai pelaksana,” katanya. – UTUSAN






