Riyadh: Bekas kapten Liverpool, Steven Gerrard, sah meninggalkan jawatannya sebagai ketua jurulatih kelab Arab Saudi, Al Ettifaq, selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama.
Gerrard, 44, mengambil alih pasukan sejak musim panas 2023 dan setahun lalu menandatangani kontrak baharu hingga 2027.
“Kelab bola sepak Ettifaq dan Steven Gerrard bersetuju secara bersama untuk berpisah,” menurut kenyataan kelab.
Musim lalu, Al Ettifaq menamatkan saingan di tangga keenam liga, namun prestasi hambar musim ini menyaksikan mereka kini di kedudukan ke-12 dalam Liga Pro Saudi, dengan lapan kekalahan daripada 17 perlawanan.
“Sejak hari pertama, saya disambut dengan baik dan menikmati peluang bekerja di negara serta budaya berbeza,” kata Gerrard.
“Saya banyak belajar dan ia menjadi pengalaman positif buat saya serta keluarga.
“Tetapi bola sepak sukar dijangka, kadangkala sesuatu tidak berlaku seperti yang kita harapkan. Saya doakan yang terbaik untuk pasukan bagi baki musim ini.”
Gerrard membimbing Al Ettifaq dalam 59 perlawanan merangkumi semua kejohanan, dengan rekod 23 kemenangan, 16 seri, dan 20 kekalahan.
Presiden kelab, Samer Al Mishal, berkata walaupun perjalanan Gerrard tidak seperti dirancang, sumbangannya tetap dihargai.
“Dia mengubah kelab ini menjadi lebih baik dan jasanya tidak akan dilupakan.
“Keputusan ini dibuat atas dasar hormat dan demi kebaikan kedua-dua pihak untuk masa depan yang lebih cerah.”
© New Straits Times Press (M) Bhd