Herry tiba di Malaysia, janji julang beregu lelaki negara

Herry tiba di Malaysia, janji julang beregu lelaki negara



ferzalfie@hmetro.com.my

Sepang: Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi, mengakui tidak sabar untuk memulakan tugasnya selepas tiba di Kuala Lumpur, malam tadi bersama isteri dan anak-anaknya.

Jurulatih berpengalaman dari Indonesia itu akan memulakan tugas secara rasmi pada Sabtu ini, dalam misi melonjakkan prestasi skuad beregu lelaki negara.

Herry yang lebih dikenali sebagai Herry Ip berkata, beliau teruja menerima cabaran baharu di Malaysia, yang menjadi destinasi pertama luar negaranya sebagai jurulatih selepas lebih tiga dekad membimbing pemain Indonesia.

Malah, beliau sempat bertemu pemain beregu lelaki negara ketika mereka menyertai saingan Masters Indonesia di Jakarta minggu lalu.

“Di Jakarta, saya jemput mereka makan malam bersama saya dan keluarga untuk lebih saling mengenali. Pemain Malaysia bukan asing bagi saya kerana sebelum ini pun kami sudah sering bertemu di kejohanan-kejohanan besar.

“Sekarang, saya akan bekerjasama dengan mereka dan lihat bagaimana saya boleh membantu melonjakkan prestasi serta menghasilkan kejayaan,” katanya sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini mengumumkan Herry, yang turut digelar jurulatih Naga Api, sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara menggantikan Tan Bin Shen yang berhijrah ke Hong Kong.

Beliau akan dibantu seorang lagi jurulatih dari Indonesia, Muhammad Miftakh, dalam usaha membentuk skuad beregu lelaki yang ketika ini dibarisi nama-nama besar seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, serta beberapa pasangan pelapis termasuk Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top