Gol Ahmad Nazri pastikan kemenangan sulung Kelantan WTS

Gol Ahmad Nazri pastikan kemenangan sulung Kelantan WTS


Kelantan WTS buka tirai Liga A1 Semi-Pro dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Malaysian University.

PEMBUKAAN perlawanan Liga A1 Semi-Pro di Stadium Sultan Muhammad IV pada Isnin berpihak kepada tuan rumah, Kelantan WTS FC, apabila berjaya menewaskan Malaysian University (MU) dengan keputusan 1-0.

Permukaan padang yang becak dan cuaca hujan tidak menjadi halangan buat anak buah Che Saupi Ibrahim untuk meraih tiga mata penuh di laman sendiri.

Bagaimanapun, Kelantan WTS terpaksa menunggu sehingga minit ke-74 untuk mencipta jaringan tunggal perlawanan hasil tandukan Ahmad Nazri Muhamad yang bijak memanfaatkan sepakan sudut oleh Khairul Asyraf.

Aksi separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling melakukan beberapa percubaan ke arah pintu gol lawan.

Sepakan percuma pemain Kelantan WTS, Mohd Nazrin Nohd Nawi, pada minit ke-7 gagal menghasilkan jaringan untuk tuan rumah.

MU hampir membuka tirai jaringan namun sepakan Muhammad Aiman Danial Che Ramlan gagal disudahkan oleh Muhammad Adim Muzahhir Saipu Azuan.

Percubaan kapten pasukan Kelantan WTS, Wan Zaharul Nizam, dari luar kotak penalti pada minit ke-42 turut tersasar.

Kedua-dua pasukan terikat 0-0 pada separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, percubaan pemain Kelantan WTS, Nor Shahmin Irfan, hampir menembusi gawang MU pada minit ke-46.

Sepakan percuma oleh Muhammad Aiman Yusof pada minit ke-55 juga tidak berjaya menghasilkan gol.

Akhirnya, pada minit ke-74, Ahmad Nazri muncul sebagai wira apabila menyempurnakan peluang yang memberi kemenangan tipis 1-0 kepada Kelantan WTS FC.



Source link

OR

Scroll to Top