ARLINGTON: Penyerang sensasi Norway, Erling Haaland sekali lagi membuktikan sentuhan berbisanya apabila muncul wira pasukan selepas meledak gol kemenangan pada penghujung perlawanan untuk menewaskan Ivory Coast 2-1 dalam aksi pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 sebentar tadi.
Gol pada minit ke-86 itu bukan sahaja memastikan Norway mara ke pusingan 16 terbaik, malah mengatur pertembungan penuh prestij menentang Brazil bagi merebut tiket ke suku akhir.
Haaland tenang menyudahkan hantaran di depan gawang untuk meledak gol kelima peribadinya dalam kejohanan, sekali gus terus mengukuhkan reputasinya sebagai antara penjaring paling berbisa di pentas dunia.
Norway terlebih dahulu memecah kebuntuan menerusi Antonio Nusa yang menghasilkan rembatan lencong menarik pada minit ke-39 untuk menewaskan penjaga gol Ivory Coast.
Bagaimanapun, Ivory Coast enggan mengalah apabila pemain gantian, Amad Diallo menghidupkan semula harapan pasukannya menerusi gerakan solo memukau sebelum menyamakan kedudukan pada minit ke-74.
Norway hampir kembali mendahului beberapa minit kemudian, namun tandukan Torbjorn Heggem hasil sepakan penjuru berjaya dikeluarkan di atas garisan oleh pertahanan Ivory Coast.
Ketika perlawanan dilihat bakal berlanjutan ke masa tambahan, Haaland muncul tepat pada waktunya apabila menyempurnakan peluang mudah empat minit sebelum wisel penamat ditiup.
Kemenangan itu membawa Norway ke pusingan 16 terbaik dengan cabaran lebih getir menanti apabila mereka dijadual berdepan gergasi Amerika Selatan, Brazil di New York, Isnin ini, bagi menentukan tempat ke suku akhir.-AGENSI





