'Gosip seni lebih kejam'

'Gosip seni lebih kejam'



georgie@hmetro.com.my

MEMILIH ceburi bidang politik tidak lama dulu, tambah mematangkan lagi penyanyi Krisdayanti dari aspek profesionalisme.

Kerjaya wakil rakyat buatkan dirinya tambah menyumbang kepada masyarakat.

Krisdayanti yang mesra disapa KD, 50, tiada lain memang mengejar misi itu, membantu permasalahan ramai. Bukan saja sebagai suara keadilan, tapi sebagai tangan yang menghulur.

Berada di Parlimen membuka jalan buatnya mempelajari selok-belok menyantuni masyarakat. Baginya, kelebihan itu sudah cukup disyukurinya kerana pangkalnya dia kian mencapai misinya.

“Politik memberi peluang dan kesempatan untuk saya mendapat lebih banyak akses membantu ramai orang. Walaupun mungkin saya bukan dapat melakukannya secara meluas di peringkat kebangsaan.

“Kalau dulu masyarakat cuma melihat saya bernyanyi, sekarang melihat dua sisi berbeza KD. Saya berharap terus menjadi saluran aspirasi buat masyarakat dari bidang apa sekalipun,” katanya.

Sudah lebih tiga dekad melayari kerjaya anak seni, tentu sekali gosip sudah menjadi darah dagingnya. Dia akui dirinya semakin kencang berdepan situasi begitu tatkala menjadi wakil rakyat pula.

Namun, KD ternyata merasakan gosip politik masih takkan dapat mengatasi ‘kegilaan’ gosip hiburan. Justeru, baginya senjata utama menangani cabaran begitu cuma sifat profesional yang kukuh.

“Tidak dinafikan, saya perlu lebih cermat lagi kerana menggalas dua peranan berbeza sebagai ahli politik dan anak seni. Gosip yang saya hadapi cukup berlainan antara dua itu.

“Saya pun sudah lebih 30 tahun dalam dunia seni. Saya rasa gosip dalam dunia seni jauh lebih kejam lagi sebenarnya. Kalau perihal politik, kita masih boleh buat rundingan,” katanya.

Menyentuh karier seninya, KD menjadi artis Indonesia yang paling kerap turun Malaysia menjayakan konsert ataupun agenda lain tidak lama dulu. Malaysia sudah ibarat rumah kedua baginya.

Bagaimanapun, sedar tidak sedar, lebih lapan tahun dia tidak beraksi menjayakan konsert di sini. Jelas kekangan itu disebabkan dirinya aktif menjalani aktiviti politiknya sebelum ini.

Justeru, KD teruja apabila akhirnya akan kembali menjayakan konsert solo mega Cinta Nostalgia Krisdayanti Kuala Lumpur pada 22 Jun depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Katanya, lama dia mendambakan peluang itu. “Dalam tempoh lapan tahun itu, saya tidak terlepas mendapat tawaran adakan konsert di sini. Namun, ketika itu keutamaan saya kepada aktiviti politik saja.

“Justeru, saya tidak berani menerima sebarang tawaran baik konsert mahupun artis jemputan menjayakan acara persembahan. Saya kena fikir masak-masak. Tak sangka sudah lapan tahun berlalu.

“Saya memantau juga industri muzik Malaysia dalam tempoh itu. Bahkan ada bertanya rakan artis Indonesia lain mengenai harga bayaran terkini supaya saya peka,” katanya.

KD turut berkongsi mengenai kemaraan ramai artis muda Indonesia mengadakan konsert di sini. Khususnya yang cukup popular seperti Mahalini, Lyodra dan Rizky Febian.

Penyanyi Cobalah Untuk Setia itu tumpang gembira dan jauh sekali rasa tergugat pun namanya dilupakan di sini. Baginya, dia tahu peminat setia seseorang artis pasti tidak beralih arah.

“Rakan artis seangkatan saya pun cakap tiada ketakutan pun jika peluang itu diambil orang lain. Rossa pun ada cakap serta mendoakan konsert akan datang saya itu berjaya.

“Kalau sudah namanya penyanyi, pasti ada masa dan karakter sendiri. Rasanya saya dari dulu masih begini dan tidak berubah sehingga sekarang,” katanya yang sempat meluangkan masa ke sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, KD sangat bersyukur apabila rakyat Malaysia masih mengenalinya sehingga saat ini. Bahkan, peminat yang menyapanya datang dari pelbagai latar belakang.

“Dari pemandu teksi ke tempat mewah, semua dengar muzik saya,” katanya.

Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti Kuala Lumpur dianjurkan Jaguh Baru Sdn Bhd. Penjualan tiketnya mula dibuka pada 23 Februari lalu menerusi laman web UberTickets.

Bakal menyanyikan 30 lagu, KD mahu membawa penonton mendengar dan kembali mengingati lagu yang penuh nostalgia cinta dengan iringan pemuzik arahan Erwin Gutawa.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top