Grace Wong sambar emas, pecah rekod temasya empat kali

Grace Wong sambar emas, pecah rekod temasya empat kali


Grace berjaya meraih emas dan cipta rekod temasya dengan catatan 65.41m sempena Sukan SEA di Suphachalasai Stadium, National Stadium, Bangkok hari ini. Foto Bernama

JAGUH baling tukul besi negara, Grace Wong Xiu Mei menampilkan aksi luar biasa apabila memenangi pingat emas dan membaharui rekod temasya sebanyak empat kali dalam satu pertandingan pada aksi Sukan SEA Thailand 2025.

Dalam saingan di Stadium Suphachalasai, Grace memulakan aksi dengan balingan sejauh 63.34 meter (m) untuk memadam rekod temasya miliknya 61.87m yang dicipta pada edisi 2023 di Kemboja.

Atlet kelahiran Sarawak itu kemudian mencipta rekod baharu temasya dan memadam rekod kebangsaan 63.53m yang dilakukannya pada kejohanan Olahraga Malaysia di Kangar, Perlis, Ogos lepas setelah melakukan 63.83m dalam balingan kedua.

Percubaan ketiga beliau menghadiahkan satu lagi rekod temasya dan kebangsaan dengan catatan 65.09m sebelum Grace melengkapkan dominasi dengan lontaran keempat 65.41m untuk sekali lagi membaharui kedua-dua rekod itu dan membantunya mengesahkan kilauan emas.

Beliau menutup dua lagi balingan dengan catatan 64.01m dan 64.42m, menjadikan keseluruhan empat rekod temasya dan tiga rekod kebangsaan berjaya diperbaharu dalam tempoh kurang sejam saingan, selain menghadiahkan emas pertama buat kem olahraga di sini.

Sementara itu, pingat perak menjadi milik wakil Thailand, Koomphon Mingkamon dengan lontaran 60.74m sementara rakan senegaranya Kaewasuksri Sawitree meraih gangsa selepas mencatat 56.27m.

Sebagai rekod, kemenangan ini merupakan emas keempat Grace dalam acara baling tukul besi pada Sukan SEA selepas meraihnya pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, edisi 2021 di Vietnam dan 2023 di Kemboja. – Bernama

Ringkasan AI

  • Jaguh baling tukul besi negara Grace Wong Xiu Mei menang emas dan baharui rekod temasya empat kali di Sukan SEA Thailand 2025
  • Grace memulakan dengan balingan 63.34m, memadam rekod temasyanya sendiri
  • Dia mencatat rekod baharu temasya dan kebangsaan dengan 63.83m pada balingan kedua
  • Pencapaian terbaiknya ialah 65.41m, membaharui rekod temasya dan kebangsaan sekali lagi
  • Merupakan emas keempat Grace dalam acara baling tukul besi Sukan SEA



Source link

OR

Scroll to Top