Jakarta: Gunung berapi Ile Lewotolok di Nusa Tenggara Timur (NTT), setinggi 1.423 meter (m), meletus 27 kali pada Rabu.
Kompas melaporkan letusan itu diperhatikan semasa tempoh pemerhatian dari 12 tengah malam sehingga 6 pagi.
Berdasarkan data seismograf, letusan ini mempunyai amplitud antara 7.8 hingga 32.7 milimeter, dengan tempoh selama 35 hingga 43 saat.
Ketinggian lajur abu pula antara 100 hingga 300 m, dan warna asapnya putih dan kelabu.
Menurut petugas Pos PGA Ile Lewotolok, letusan ini juga disertai dengan lontaran material pijar, dan bunyi dentuman gemuruh dengan kekuatan lemah, sederhana, hingga kuat.
“Lontaran lava pijar (berwarna merah) kelihatan sejauh 300 m ke arah tenggara dari pusat letusan,” katanya pada pagi Rabu.
Kawasan puncak gunung itu jelas kelihatan, katanya.
Menurutnya, asap kawah bertekanan rendah berwarna putih, dilihat setinggi 20 m di atas puncak kawah.
Cuaca di gunung itu juga cerah dan berawan, katanya.
Dalam pada itu, pihak berkuasa melaporkan tahap aktiviti gunung berapi yang terletak di Kabupaten Lembata, NTT, itu berada pada tahap III, iaitu siap siaga.
© New Straits Times Press (M) Bhd