July 27, 2024

Gunung Ibu di Maluku Utara meletus, muntahkan abu sejauh 7 km

Gunung Ibu di Maluku Utara meletus, muntahkan abu sejauh 7 km


JAKARTA – Gunung Ibu, yang terletak di Pulau Halmahera Barat, wilayah Maluku Utara, meletus lagi pada 12.35 waktu Indonesia timur, memuntahkan awan yang mengandungi abu sehingga kira-kira tujuh kilometer dari kawah puncak utama selama kira-kira 10 minit.

Letusan itu juga mengeluarkan pasir yang dibawa ke arah barat oleh angin sehingga sampai ke pos pemerhatian gunung berapi dan pusat perlindungan sementara di Kampung Gam Ici, yang dihuni beberapa penduduk susulan peningkatan letusan baru-baru ini.

“Keadaan semasa letusan adalah agak tenang, tanpa ada panik dalam kalangan penduduk,” kata jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), Abdul Muhari dalam satu kenyataan.

Penduduk dinasihatkan supaya mengelak daripada melakukan aktiviti luar dan menggunakan pelitup muka yang disediakan sebelum ini untuk melindungi diri daripada masalah pernafasan semasa hujan abu dan pasir yang berterusan.

Abdul Muhari menyatakan bahawa abu Gunung Ibu tidak jelas kelihatan dari pos pemerhatian kerana kabus tebal dan awan.

“Bagaimanapun, awan yang mengandungi abu nampaknya menjulang tinggi ke langit dari Kampung Duono,” katanya, sambil menambah bahawa kakitangan BNPB dan Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD)  Halmahera Barat (BPBD) berada di kawasan terjejas untuk memantau dan melaksanakan langkah kecemasan yang diperlukan. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top