Guru perlu jaga adab, tidak sepatutnya menari di hadapan murid

Guru perlu jaga adab, tidak sepatutnya menari di hadapan murid


TANGGAL 16 Mei merupakan satu tarikh yang pastinya akan diingati oleh anak-anak murid bagi menghargai jasa dan pengorbanan para guru mereka.

Bahkan pada setiap sambutan yang diadakan, para gurulah yang lebih teruja untuk menyambutnya memandangkan mereka dihargai, diberikan hadiah dan ada juga yang diberikan anugerah seperti Guru Paling Popular, Guru Paling Kacak dan Guru Paling Sempoi.

Para pendidik juga kadangkala diberikan kebebasan pada hari tersebut untuk memakai pakaian bertema atau uniform selain daripada baju yang biasa dipakai untuk ke sekolah.

Sebagai contoh, tema ‘Jika aku bukan seorang guru’, adiwira, uniform sekolah dan banyak lagi tema yang ditetapkan dalam menjayakan sambutan Hari Guru.

Kadangkala juga para guru diminta untuk membuat persembahan seperti berkaraoke, bersajak, berlakon dan ada juga mempersembahkan tarian di atas pentas.

Pentadabbur My #HadithTime, Dr Ahmad Sanusi Azmi ketika ditanya mengenai membuat persembahan tarian di atas pentas, beliau menjelaskan ia tidak sesuai dilakukan oleh guru yang memegang status pendidik itu.

DR AHMAD SANUSI

“Baru-baru ini ramai juga yang bertanya mengenai guru yang membuat persembahan, ada yang kata guru nak release (redakan) stres dan sebagainya.

“Sebenarnya (perbuatan menari) tidak berapa sesuai kerana guru adalah uswah (teladan) kepada anak-anak murid,” jelasnya dalam Facebook My #HadithTime pada Selasa.

Ujarnya, dalam Islam, guru adalah orang yang sangat menjaga adab dan teladan atau panduan kepada anak murid mereka.

“Kalau guru stres sekalipun dan kemudian mahu menari, adakah ini contoh yang hendak dipersembahkan kepada anak murid?

“Adakah ini kaedah yang kita nak didik pada anak-anak murid?” soalnya lagi.

Pensyarah itu menambah, sebagai seorang yang bergelar guru, jagalah diri dari aspek adab dan akhlak sekali gus menjadi teladan kepada para pelajar.

GURU sepatutnya menunjukkan adab dan akhlak yang baik kepada para pelajar. Foto Canva

GURU sepatutnya menunjukkan adab dan akhlak yang baik kepada para pelajar. Foto Canva

Beliau turut bimbang ketika guru melakukan persembahan tarian, pakaian yang dipakai mereka tidak menepati kriteria yang telah diletakkan dalam syariat Islam.

“Kita bimbang ada anak-anak murid yang akan merenung atau menonton dan kita tidak tahu apa yang mereka lalui, fikirkan dan sebagainya (ketika guru melakukan persembahan tarian).

“Ini adalah salah satu perkara yang kita bimbang dari aspek ghaddul basar (menundukkan pandangan) yang kita didik kepada para pelajar lelaki, wanita dan sebagainya,” jelasnya.

Ujarnya, kita tidak boleh nafikan kalau pelajar sekolah menengah, tidak mustahil banyak perkara yang datang dalam pemikiran mereka, mungkin akan terdedah dengan perkara yang tidak diingini.

Beliau menegaskan bukan bermakna guru tidak boleh melakukan persembahan atau menari untuk hilangkan stres, tapi untuk dijadikan sebagai kandungan dan tatapan umum, pada pandangannya ia tidak wajar.

GURU yang berakhlak dan beradab akan dihormati serta disayangi anak muridnya. Foto Canva

GURU yang berakhlak dan beradab akan dihormati serta disayangi anak muridnya. Foto Canva

“Jadi kalau dia nak hilangkan stres, mungkin guru tersebut boleh melakukannya sesama guru wanita atau sesama guru lelaki dan tidak dipamerkan serta tidak dirakam.

“Kalau mahu laksanakan persembahan juga, mereka perlu menjaga beberapa adab yang telah digariskan Islam,” pesannya.



Source link

OR

Scroll to Top