Guardiola yakin Haaland (kiri) lebih baik berbanding penyerang lain di dunia. Foto AFP
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menolak kenyataan pengendali Liverpool, Arne Slot yang mendakwa pemain baharunya, Alexander Isak mungkin penyerang terbaik dunia sebaliknya menegaskan Erling Haaland berada ‘sedikit di atas’ bintang Sweden itu.
Slot sebelum ini memuji kehebatan Isak menjelang aksi debutnya bersama Liverpool selepas menyertai The Reds dengan rekod perpindahan termahal dari Newcastle United.
Namun, Guardiola menegaskan beliau hanya melihat kualiti yang sangat baik dimiliki Haaland berbanding penyerang lain.
“Sedikit di atas. Isak pemain yang luar biasa, (tetapi) anda tanya saya tentang Erling, dia berada di tahap tertinggi. Isak pasti pemain hebat berdasarkan nilai perpindahan yang mereka bayar.
“Tetapi ada juga yang akan kata (Kylian) Mbappe, (Lionel) Messi, Cristiano (Ronaldo). Saya tidak akan tukar Erling dengan sesiapa pun,” katanya.
Haaland kini berada dalam prestasi terbaik menjelang aksi derby menentang Manchester United pada Ahad selepas meledak lima gol bersama skuad Norway pada aksi antarabangsa pertengahan minggu.
Pertemuan menentang United itu juga mungkin menyaksikan penjaga gol baharu, Gianluigi Donnarumma membuat penampilan sulung bersama City selepas tiba dari Paris Saint-Germain menggantikan Ederson yang berpindah ke Fenerbahce.
Bagaimanapun, Donnarumma tidak terkenal dengan kemahiran hantaran iaitu aspek yang menjadikan Ederson begitu penting dalam kejayaan City sepanjang lapan tahun bersama Guardiola.
Namun, Guardiola menegaskan beliau tidak mengharapkan Donnarumma meniru keupayaan Ederson.
“Saya sentiasa cuba menyesuaikan diri dengan kualiti pemain. Saya tidak akan minta dia (Donnarumma) lakukan sesuatu yang dia tidak selesa.
“Kita bercakap tentang penjaga gol terbaik yang pernah saya lihat dari segi hantaran pendek atau jauh iaitu Ederson.
“Kami tidak ambil Donnarumma untuk lakukan apa yang Ederson sudah lakukan. Dia ada kualitinya tersendiri,” ujarnya.