Manama: Pasukan Formula Satu (F1) Haas yang dimiliki oleh Amerika Syarikat menyatakan bahawa mereka meneruskan operasi seperti biasa meskipun perniagaan peralatan mesin milik Gene Haas dilaporkan mengalami penurunan mendadak akbiat tarif perdagangan yang dikenakan Presiden Donald Trump.
Haas Automation yang berpangkalan di California dalam satu kenyataan pada Rabu lalu berkata mereka mengurangkan pengeluaran, menghentikan kerja lebih masa, dan tidak mengambil pekerja sementara menilai kesan tarif itu terhadap operasi.
“Walaupun tarif ini memberi impak yang besar kepada perniagaan Haas Automation, syarikat itu masih optimis bahawa pentadbiran Trump akan mencari penyelesaian untuk memberi kelegaan kepada pengeluar-pengeluar di Amerika Syarikat,” jelas kenyataan syarikat terbabit.
Syarikat itu menggajikan 1,700 pekerja di kilang mereka di Oxnard serta di pusat pengeluaran lain di seluruh Amerika Syarikat. Mereka menyatakan bahawa penurunan permintaan ini datang daripada pelanggan domestik dan antarabangsa.
Jurucakap pasukan berkata menjelang Grand Prix Bahrain hujung minggu ini bahawa kenyataan itu tidak memberi sebarang kesan terhadap Haas F1.
“Ia berjalan seperti biasa bagi pasukan dan tiada perubahan dalam rancangan pembangunan, proses pengambilan pekerja dan projek-projek lain,” katanya.
Haas, yang memasuki Formula Satu pada 2016 dan kini menyambut musim ke-10 mereka, merupakan pasukan terkecil antara 10 pasukan yang berlumba.
© New Straits Times Press (M) Bhd