KEJOHANAN badminton amatur popular, Haier Cup 2026 terus berkembang apabila Sabah diumumkan sebagai lokasi baharu penganjuran peringkat negeri bagi edisi keempat kejohanan itu tahun ini.
Penyertaan Sabah melengkapkan siri jelajah Haier Cup bersama Sarawak, Johor, Pulau Pinang dan Selangor sekali gus memperkukuh status kejohanan berkenaan sebagai platform badminton komuniti bertaraf kebangsaan.
Pengarah Urusan Haier Malaysia, Fan Jing berkata, perkembangan itu mencerminkan sambutan positif diterima sejak kejohanan berkenaan diperkenalkan empat tahun lalu.
“Haier Cup kini bukan sekadar platform pertandingan tetapi medan untuk pemain meningkatkan kemahiran, kekal aktif dan berhubung dengan komuniti badminton di seluruh negara.
“Kami mahu terus mendekati golongan muda serta komuniti melalui aktiviti sukan yang memberi impak positif,” katanya.
Bagi edisi 2026, Haier Cup tampil dengan format lebih dinamik termasuk pengenalan kategori terbuka di Selangor buat kali pertama.
Kejohanan menawarkan tiga kategori utama iaitu perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran untuk peserta berusia 16 tahun ke atas.
Peserta bakal merebut hadiah keseluruhan bernilai sehingga RM90,000 merangkumi wang tunai, produk Haier dan barangan eksklusif Maxx.
Saingan peringkat negeri akan membuka tirai di Kuching, Sarawak pada 16 Mei sebelum diteruskan di Kota Kinabalu (6 Jun), Johor Bahru (20 Jun) dan Pulau Pinang (4 Julai).
Kejohanan kategori terbuka pula dijadual berlangsung di Selangor pada 8 Ogos depan.
Dalam pada itu, Haier Cup Junior kembali untuk tahun kedua susulan sambutan menggalakkan pada edisi sulung tahun lalu.
Kejohanan pembangunan bakat muda itu dijadual berlangsung pada 18 dan 19 Julai ini dengan sasaran penyertaan kira-kira 1,000 pemain serta penonton membabitkan peserta berusia antara tujuh hingga 21 tahun.
Sebagai kesinambungan pembangunan akar umbi, Haier turut meneruskan Program Pembangunan Junior 2.0 yang memberi fokus kepada pencarian dan pembangunan bakat muda badminton negara.
Pada tahun lalu, program itu berjaya melibatkan kira-kira 10,000 pelajar dengan 16 pemain meraih kejayaan podium di pelbagai kejohanan peringkat negeri.
Bagi tahun ini, Haier menyasarkan penglibatan 10,000 lagi pelajar menerusi kerjasama dengan 20 sekolah di seluruh negara selain menyediakan pendedahan pertandingan tempatan dan antarabangsa kepada atlet muda terpilih.
Haier turut mengumumkan pemain perseorangan lelaki negara, Lim Ming Hong sebagai atlet terbaharu di bawah Program Tajaan Pemain Elit Haier.
Pemain berusia 20 tahun itu kini berada di ranking kelapan kebangsaan dan dilihat sebagai antara prospek baharu yang berpotensi menyerlah di pentas lebih tinggi. -end






