KESATUAN Bolasepak Eropah (UEFA) memperkenalkan format baharu kelayakan dua peringkat bagi Piala Dunia 2030 yang bakal menggunakan sistem hampir menyerupai saingan Liga Juara-Juara.
Menerusi format berkenaan, liga utama kelayakan akan membabitkan 36 negara yang dipilih berdasarkan penstrukturan semula Liga Negara-Negara UEFA 2028/2029.
Kesemua pasukan akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan setiap kumpulan dianggotai 12 pasukan.
Setiap pasukan dijadual mengharungi enam perlawanan menentang enam lawan berbeza sama ada di laman sendiri atau tempat lawan, termasuk dua pasukan daripada setiap kelompok ranking, selaras dengan format digunakan dalam pertandingan kelab UEFA ketika ini.
Juara bagi setiap kumpulan Liga 1 akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2030, manakala baki slot akan ditentukan menerusi saingan playoff.
Dalam masa sama, 18 negara dengan ranking lebih rendah akan beraksi dalam Liga 2 dan tetap mempunyai peluang memburu tiket ke kejohanan berprestij itu.
Presiden UEFA, Aleksander Ceferin berkata, perubahan format itu dijangka mampu meningkatkan daya saing selain mengurangkan jumlah perlawanan yang tidak memberi kesan terhadap kedudukan pasukan.
“Format baharu ini akan meningkatkan keseimbangan persaingan, mengurangkan jumlah perlawanan yang tidak memberi impak serta menawarkan pertandingan lebih menarik dan dinamik kepada penyokong.
“Pada masa sama, ia memastikan peluang kelayakan yang adil untuk semua pasukan tanpa menambah sebarang tarikh baharu dalam kalendar antarabangsa.
“Perubahan ini juga akan meningkatkan nilai bola sepak pasukan kebangsaan lelaki UEFA,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, UEFA turut mengumumkan Liga Negara-Negara UEFA akan distruktur semula daripada empat liga kepada tiga divisyen yang masing-masing membabitkan 18 pasukan.
Setiap divisyen akan dibahagikan kepada tiga kumpulan dengan enam pasukan bagi setiap kumpulan.
Pasukan akan bermain enam perlawanan menentang lima lawan berbeza sama ada di laman sendiri atau tempat lawan melibatkan pasukan daripada balang berbeza, selain aksi timbal balik menentang pasukan dari balang sama.
Format pusingan kalah mati pula dikekalkan menerusi saingan suku akhir dan ‘Final Four’, termasuk aksi playoff kenaikan serta penyingkiran. – AFP






