Hakim Danish tetap jadi ancaman di Moto3

Hakim Danish tetap jadi ancaman di Moto3

Hakim Danish tetap jadi ancaman di Moto3


PELUMBA muda negara, Hakim Danish Ramli layak dianggap antara pencabar berbahaya dalam Kejuaraan Dunia Moto3 meskipun terlepas podium pada Grand Prix (GP) Belanda di Litar Assen, semalam.

Pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSi itu sekali lagi membuktikan kemampuannya bersaing dalam kelompok hadapan apabila bangkit daripada petak ke-16 sebelum menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara pelumba yang perlu diberi perhatian musim ini.

Aksi bertenaga Hakim Danish sepanjang 25 pusingan turut mencuri perhatian apabila namanya kerap disebut pengulas rasmi perlumbaan ketika bersaing sengit dalam kelompok pendahulu, sekali gus menggambarkan keupayaannya mencabar barisan pelumba terbaik Moto3.

Bagaimanapun, pelumba berusia 18 tahun itu terlepas peluang menaiki podium kedua berturut-turut selepas GP Republik Czech apabila berdepan masalah cengkaman tayar belakang pada lima pusingan terakhir ketika sedang bersaing dalam kelompok tiga terbaik.

“Syukur Alhamdulillah, saya menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh. Saya bagi segala-galanya dan dari pusingan pertama hingga penamat.

“Memang saya mahukan podium, tetapi bukan rezeki saya kali ini. Apa pun saya gembira dengan keputusan ini kerana saya terus memberikan tekanan sepanjang perlumbaan.

“Cuma pada lima pusingan terakhir saya mula bergelut dengan cengkaman tayar belakang yang semakin haus. Saya akan terus belajar untuk perlumbaan seterusnya dan cuba memberikan yang lebih baik,” katanya.

Prestasi dipamerkan Hakim Danish di Assen turut mengundang pelbagai reaksi positif dalam kalangan penyokong di media sosial yang memuji semangat juang dan keberaniannya untuk terus bersaing dalam kelompok hadapan walaupun berdepan masalah cengkaman tayar pada penghujung perlumbaan.

Ramai percaya pengalaman itu akan menjadi pemangkin buat Hakim Danish untuk kembali mencabar kelompok podium pada GP Jerman di Sachsenring pada 12 Julai nanti.

Keputusan di Assen menyaksikan Hakim Danish mengutip sembilan mata kejuaraan dunia untuk naik ke tangga keenam keseluruhan Moto3 dengan 82 mata, sekali gus memintas pelumba Indonesia, Veda Pratama yang turut mengumpul jumlah mata sama.



Source link

OR

Scroll to Top