Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 101)
DICERITAKAN daripada Abu Yusuf RA bahawa seorang pemerintah daripada pemimpin tentera Amir al-Mukminin Harun Ar-Rasyid dijadikan saksi. Beliau adalah kaum kerabatnya. Abu Yusuf tidak menerima kesaksiannya. Pemerintah daripada pemimpin tentera itu mengadu kepada Harun Ar-Rashid.
Harun bertanya: Kenapa engkau menolak kesaksiannya?
Abu Yusuf menjawab: Aku tolak kerana aku dengar pada suatu hari, dia berkata di hadapanmu: ‘Aku hamba kepada Amir al-Mukminin. Jika ia benar, maka kesaksian hamba tidak diterima. Jika dia bohong, maka kesaksian pembohong juga tidak diterima.’
Harun berkata: Jika saya menjadi saksi, anda terima?
Abu Yusuf menjawab: Tidak!
Harun bertanya: Kenapa?
Abu Yusuf menjawab: Kerana engkau sombong kepada Allah. Engkau tidak keluar bersolat jemaah. Engkau tidak solat bersama orangramai. Ini dikira sombong kepada Allah. Ini tidak layak dengan sifat hamba.
Harun bertaubat daripada perkara itu. Beliau keluar dari pintu istananya ke masjid bersama orangramai. Beliau keluar ke masjid setiap kali solat. (Petikan kitab Mahasin al-Islam, Imam Abi Abdillah Al-Bukhari ms 113-114)
Kita boleh mengambil beberapa pengajaran dari kisah di atas:
1. Abu Yusuf ialah Ya’qub bin Ibrahim al-Ansari, bermazhab Abu Hanifah, menyebarkan mazhab Abu Hanifah melalui banyak penulisan dan kitabnya.
2. Kitabnya Al-Kharaj antara kitab yang terkenal berkaitan pengurusan ekonomi negara. Yang menarik ialah beberapa muka surat yang awal dari kitab tersebut dipenuhi dengan nasihat agama, takuti azab Allah jika tidak amanah menjalankan tugas kepimpinan, ingat akhirat, dosa dan pahala.
Ia sangat penting dan asas agar kepimpinan berdasarkan taqwa kepada Allah, lalu mengurus, mentadbir politik, ekonomi dan lain-lain dengan cara terbaik dan diredai Allah.
3. Abu Yusuf sangat tegas ketika menjadi hakim besar. Tanpa mengira status kaum-kerabat atau saudara-mara, beliau sangat sensitif terhadap kata-kata yang dikeluarkan. Lihatlah pada ucapan di atas mengenai pengakuan sebagai hamba atau kata-kata bohong, kedua-duanya ditolak sebagai kesaksian.
4. Di zaman kita, ada orang yang sifatnya ‘asal buka mulut, muhong’ tetapi tidak rasa apa-apa. Selamba. Bahkan diangkat menjadi ketua. Jauhnya sifat dan keadaan kita dengan zaman kehebatan Islam dahulu. – HARAKAHDAILY 17/7/2024
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.