Doku dalam dilema, Piala Dunia atau anak sulung

Doku dalam dilema, Piala Dunia atau anak sulung


Seattle: Bintang Belgium, Jeremy Doku dijangka bergelar bapa buat kali pertama ketika Piala Dunia masih berlangsung, sekali gus mewujudkan dilema buat pasukan kebangsaan negara itu.

Pemain sayap berusia 24 tahun itu adalah antara tonggak utama Belgium yang akan memulakan kempen Kumpulan F menentang Mesir di Seattle, awal pagi ini.

Media Belgium melaporkan perancangan sedang dibuat bagi membolehkan Doku meninggalkan Amerika Syarikat dan pulang ke Eropah sekiranya isterinya melahirkan anak ketika kejohanan berlangsung.

Doku memberitahu wartawan bahawa isterinya, Shireen dijangka bersalin pada minggu kedua Julai, iaitu ketika Piala Dunia memasuki peringkat suku akhir.

Jika Belgium masih meneruskan cabaran dalam kejohanan itu, pemain Manchester City berkenaan tetap mahu berada di sisi isterinya.

“Ia bergantung kepada bila ia berlaku, tetapi ini adalah anak pertama saya, jadi sudah tentu saya mahu berada di sana.

“Jika ditanya apa yang saya mahukan, jawapannya adalah tiada siapa yang mahu terlepas detik kelahiran anak sulung mereka.

“Tetapi saya juga faham bahawa bola sepak membabitkan banyak perkara lain yang perlu dipertimbangkan.

“Saya tahu persekutuan bola sepak sentiasa menyokong pemain dan memahami situasi mereka. Kita akan lihat apa yang boleh dilakukan,” katanya.

Menurut media Belgium, sebuah pesawat peribadi berkemungkinan disediakan untuk membawa Doku ke England, lokasi isterinya dijangka melahirkan anak.

Doku kini beraksi bersama Manchester City di EPL.

Dalam perkembangan sama, pertahanan Belgium, Brandon Mechele turut berdepan situasi hampir serupa apabila isterinya dijangka melahirkan anak kira-kira seminggu selepas tarikh kelahiran anak Doku.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top