Polis siasat kes pelajar sekolah dibuli hingga risiko hilang pendengaran, suspek berusia 17 tahun ditahan


am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis Selangor mengesahkan menerima laporan dan sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian buli membabitkan pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di sini.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu ugutan serta mendatangkan kecederaan.

“Siasatan sehingga kini masih lagi berjalan, rakaman percakapan dan keterangan sudah diambil.

“Suspek berusia 17 tahun yang juga kenalan satu sekolah dengan mangsa sudah ditangkap dan direman namun dibebaskan dengan jaminan.

“Mengikut keterangan yang ada sehingga kini, punca kejadian berkaitan perbuatan ejek mengejek yang berlaku antara kenalan sekolah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Ditanya tahap kecederaan mangsa, Shazeli berkata, beliau tidak boleh memberi ulasan berikutan masih menunggu laporan rasmi daripada pegawai perubatan.

“Itu keadaan semasa dan setakat ini hanya seorang sahaja suspek ditahan bagi membantu siasatan.

“Siasatan sedang dijalankan sebelum dilengkapkan dan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Semalam media melaporkan, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun berisiko kehilangan pendengaran gara-gara menjadi mangsa buli serta pukul di sekolah.

Dalam satu sidang media, ibu mangsa, Nurhaswaty Zamani, 43, mendakwa anaknya mengalami kecederaan pada kepala dan telinga selepas dipercayai menjadi mangsa buli dan serangan di sebuah sekolah menengah di Shah Alam.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian selepas anaknya pulang dari sekolah pada Rabu lalu dan menceritakan kejadian yang berlaku.

Dia turut mendakwa anaknya sudah berdepan gangguan daripada kumpulan pelajar sama sejak Tingkatan Satu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top