KUALA LUMPUR: Dendam dipercayai menjadi motif seorang lelaki menyimbah petrol sebelum membakar seorang wanita di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong, di sini, pada 9 Ogos lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek lelaki tempatan berusia 59 tahun ditahan di Kepong, semalam.
“Polis akan memohon reman terhadap suspek hari ini bagi membantu siasatan.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah dendam peribadi berkaitan nombor ramalan.
“Suspek dan mangsa dipercayai tiada hubungan persaudaraan namun saling mengenali antara satu sama lain,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Fadil berkata, mangsa yang terbakar 50 peratus tubuh badan masih menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan sedang ditidurkan.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita warga emas melecur kira-kira 50 peratus pada badan selepas disimbah cecair dipercayai petrol sebelum dibakar di sebuah premis menjual nombor ramalan di Taman Pusat Kepong.
Mangsa berusia 62 tahun dan bekerja sebagai penjaga kaunter premis berkenaan.
Sebelum ini, Pemangku Ketua Polis Daerah Sentul, Superintenden Jasni Zolpa dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian kira-kira pada 8 pagi yang memaklumkan seorang wanita diserang seorang lelaki tidak dikenali.- UTUSAN
