September 8, 2024

Hamas terima cadangan AS untuk mula perbincangan bebas tebusan

Hamas terima cadangan AS untuk mula perbincangan bebas tebusan


Gaza: Hamas menerima cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk memulakan perbincangan mengenai pembebasan tebusan Israel, termasuk askar dan lelaki, 16 hari selepas fasa pertama perjanjian yang bertujuan menamatkan perang Gaza, menurut sumber kanan Hamas pada Sabtu.

Kumpulan itu sudah menggugurkan tuntutan supaya Israel terlebih dahulu melakukan gencatan senjata kekal sebelum menandatangani perjanjian itu, dan akan membenarkan rundingan diadakan sepanjang fasa pertama enam minggu, sumber itu memberitahu agensi berita dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Seorang pegawai Palestin yang rapat dengan usaha damai pengantara antarabangsa berkata, cadangan itu boleh membawa kepada perjanjian rangka kerja, jika diterima oleh Israel, dan akan menamatkan perang sembilan bulan antara Israel dan Hamas di Gaza.

Sumber dalam pasukan perunding Israel, bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, pada 5 Julai berkata, kini terdapat peluang sebenar untuk mencapai persetujuan.

Itu sangat berbeza dengan kejadian masa lalu dalam perang sembilan bulan di Gaza, apabila Israel berkata, syarat yang dilampirkan oleh Hamas tidak boleh diterima.

Jurucakap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu enggan mengulas mengenai perkara itu.

Sehari sebelumnya, pejabatnya berkata, rundingan akan diteruskan minggu depan dan menekankan bahawa jurang antara kedua-dua pihak masih kekal.

Cadangan baharu itu memastikan pengantara akan menjamin gencatan senjata sementara, penghantaran bantuan dan pengunduran tentera Israel selagi rundingan tidak langsung terus melaksanakan fasa kedua perjanjian itu, kata sumber Hamas.

Usaha untuk mendapatkan gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza dipergiat sejak beberapa hari lalu, dengan usaha diplomasi yang aktif dalam kalangan Washington, Israel dan Qatar.

Sumber serantau berkata, pentadbiran AS sedang berusaha untuk mendapatkan perjanjian sebelum pilihan raya presiden pada November.

Netanyahu pada 5 Julai berkata, ketua agensi perisikan Mossad Israel sudah kembali dari pertemuan awal dengan pengantara di Qatar dan rundingan akan diteruskan minggu depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top