September 8, 2024

Hamidin terkilan Pan-gon tinggalkan Harimau Malaya

Hamidin terkilan Pan-gon tinggalkan Harimau Malaya


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui sedikit terkilan dengan keputusan Kim Pan-gon meletakkan jawatan pengendali Harimau Malaya.

Menurutnya, Pan-gon sebelum ini menyatakan komitmen mahu terus mengendalikan skuad Harimau Malaya sehingga tamat kontraknya pada Disember 2025.

Bagaimanapun, Hamidin tetap mengucapkan terima kasih atas khidmat yang telah dicurahkan Pan-gon dan berharap agar peminat bola sepak tetap memberikan sokongan kepada pengendali sementara, Pau Marti Vicente untuk membimbing Harimau Malaya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pan Gon kerana sepanjang dua setengah tahun beliau bersama kita, ranking Harimau Malaya telah meningkat baik dan Malaysia berjaya layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun. Sumbangan besar beliau tidak akan kita lupakan.

“Jurulatih datang dan pergi. Itu hakikat yang perlu kita terima. Jadi, kini walaupun Harimau Malaya tanpa Pan Gon, saya tetap mengharapkan agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan padu kepada Pau Marti dan skuad Harimau Malaya bermula dari Pestabola Merdeka 2024 pada September ini.

“Saya yakin dan percaya bahawa Pau Marti dan barisan kejurulatihan sedia ada termasuk E Elavarasan akan meneruskan kesinambungan dan legasi yang ditinggalkan oleh Pan Gon bagi membawa cabaran skuad Harimau Malaya selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Hamidin turut telah mengadakan pertemuan dengan Pau Marti di Mallorca, Sepanyol, pagi tadi.

Ia sebagai langkah segera bagi membincangkan hala tuju dan perancangan skuad Harimau Malaya selepas peletakan jawatan Pan-gon.

Hamidin yang merupakan Chef de Mission (CDM) ke Sukan Olimpik Paris 2024 ketika ini berada di Sepanyol bagi memantau skuad berbasikal trek negara yang sedang menjalani latihan di sana sebelum berangkat ke Paris.

“Kebetulan juga Pau Marti sedang pulang bercuti di Sepanyol dan saya terus menghubungi beliau untuk datang ke Mallorca, hari ini bagi membincangkan serba sedikit hala tuju pasukan dan perancangan beliau selepas diumumkan sebagai pemangku ketua jurulatih kebangsaan bagi menggantikan Pan Gon.

“Biarpun kami berdua masih terkejut dengan keputusan drastik Pan Gon untuk meninggalkan pasukan, Pau Marti menyatakan bahawa beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab baharu ini dan mempunyai misi untuk terus memperkasakan skuad Harimau Malaya,” katanya.

Hamidin turut memberitahu bahawa beliau sebagai Presiden FAM akan terus memberikan sokongan dan perhatian penuh terhadap segala keperluan skuad Harimau Malaya dalam memastikan ranking FIFA terus dapat diperbaiki, selain persiapan bagi menghadapi Pestabola Merdeka 2024 pada September ini dan Piala AFF.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top