PUTRAJAYA: Tindakan penguatkuasaan terhadap premis yang diubah suai menjadi ‘bilik sarang burung’ perlu dilaksanakan secara berkala oleh semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan isu itu tidak terus berleluasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, penguatkuasaan itu tidak seharusnya tertumpu di Kuala Lumpur semata-mata, sebaliknya dipantau secara menyeluruh oleh semua PBT.
Menurutnya, ketua-ketua PBT juga perlu memantau unit penguat kuasa masing-masing bagi memastikan tugas dilaksanakan dengan berintegriti serta mengelakkan salah guna kuasa.
“Tindakan penguatkuasaan ini memang perlu dijalankan secara berkala. Penguat kuasa di setiap PBT perlu dipantau dengan baik kerana jika tidak, ia boleh membuka ruang kepada salah guna kuasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Hadiah Cabutan Bertuah Cukai Taksiran dan Majlis Penyampaian Anugerah Penarafan Bintang Kualiti Pengurusan Skim Pemajuan Berstrata 2025 di sini, hari ini.
Mengulas sama ada operasi terhadap premis yang dijadikan “bilik sarang burung” akan diperluaskan ke Putrajaya susulan tindakan penguatkuasaan di Kuala Lumpur pada Jun lalu, Hannah berkata, perkara itu tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan oleh PBT.
Tegasnya, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Bandar Kuala Lumpur serta ketua-ketua PBT lain perlu memberi perhatian serius terhadap isu berkenaan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 502 premis di seluruh negara dikenal pasti diubah suai secara ekstrem menjadi bilik sewa berkonsepkan ‘rumah sarang burung’ sejak 2023 hingga awal tahun ini.
Lebih membimbangkan, terdapat premis yang diubah suai sehingga mampu menempatkan sehingga 30 bilik dalam satu bangunan semata-mata untuk meraih keuntungan, sekali gus meningkatkan risiko keselamatan kepada penghuni. – UTUSAN






