am@hmetro.com.my
Johor Bahru: “Saya tidak kira sama ada individu berkenaan adalah Melayu, Cina atau India, saya hanya membantu secara ikhlas termasuk bagi menaikkan mayat ke darat bersama anggota polis supaya proses seterusnya dapat dilakukan,” kata seorang pengusaha bot di Sungai Tanjung Sembrong Batu Pahat dikenali sebagai Jasni, 40-an.
Menurutnya, dia yang juga pemilik jeti di lokasi penemuan mangsa bunuh menawarkan bantuan tanpa mengharapkan sebarang imbuhan.
“Ketika menemukan mayat, saya menghubungi polis bagi membuat laporan serta membantu apa yang terdaya.
“Cabaran saya mahu pun rakan hadapi adalah ketika menaikkan mayat mendiang.
“Saya tidak sangka selepas itu ahli keluarga mangsa sanggup menghubungi saya untuk mengucapkan terima kasih atas bantuan.
“Malah saya tidak menjangka mereka juga dengan rela hati memberikan sejumlah sagu hati sebagai tanda berterima kasih walaupun saya menyatakan niat saya membantu adalah ikhlas.
“Saya mengucapkan takziah kepada keluarga berkenaan, semoga mereka tabah menghadapi dugaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, adik ipar mangsa bunuh yang hanya mahu dikenali sebagai Teo berkata, seperti dijanjikan pihaknya menyalurkan imbuhan RM5,000 kepada individu yang menemukan mendiang.
“Bantuannya tidak dapat kami lupakan selamanya dan kami menghubunginya secara peribadi bagi mengucapkan terima kasih.
“Kami juga berterima kasih kepada semua yang membantu,” katanya ketika dihubungi.
Pada 31 Julai lalu, akhbar ini melaporkan dakwaan isteri ahli perniagaan, Low Kai Xian, 39, yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, 32, bahawa suaminya hilang sejak 29 Julai lalu.
Hanya kenderaan pelbagai guna (MPV) milik Low yang juga bapa kepada dua cahaya mata ditemukan berhampiran sebuah bangunan pusat beli-belah di Skudai pada 30 Julai lalu, iaitu sehari selepas dia dilaporkan hilang.
Kali terakhir isteri Low berhubung dengannya adalah pada tengah hari 29 Julai lalu, namun ketika itu suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan.
Low memaklumkan dia masih menunggu seseorang di sebuah kedai makan di Taman Sutera, Skudai.
Sebelum ini, keluarga berkenaan turut menyatakan akan menawarkan ganjaran RM5,000 kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat tepat bagi membantu mengesan Low.
Tular di media sosial Isnin lalu berkenaan penemuan mayat seorang lelaki yang disyaki mangsa bunuh, terapung dalam keadaan tubuhnya sudah kembung dan dibalut jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja di Batu Pahat.
Mayat itu ditemukan penduduk yang pada mulanya menyangka objek berkenaan ialah bangkai haiwan sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.
© New Straits Times Press (M) Bhd






