Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menzahirkan rasa sebak mengenang pemergian sahabatnya, Allahyarham Salahuddin Ayub yang genap tiga tahun meninggal dunia hari ini.
Banyak perkara diingati terutama ketika berdepan krisis politik
Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menyatakan masih banyak perkara yang mengingatkannya kepada Allahyarham, terutama ketika berdepan krisis politik dan merancang program untuk rakyat.
“Dalam setiap krisis politik, saya akan terfikir, apakah yang mungkin Salahuddin lakukan dalam situasi ini?
“Setiap kali saya merancang sesuatu program, saya juga akan teringat konsep Rahmah yang dibawanya. Saya akan cuba mencari ‘opsyen Rahmah’ supaya lebih ramai rakyat khususnya mereka yang kurang berupaya, dapat turut serta dan menerima manfaat,” katanya.
Ajar banyak tentang nilai Rahmah
Menurut Hannah, Allahyarham banyak mengajarnya mengenai nilai Rahmah yang membawa maksud kurniaan tanpa syarat dan belas kasihan, selain sentiasa mengingatkan agar membantu golongan yang paling memerlukan.
“Beliau pernah berkata, di Malaysia tidak sepatutnya ada sesiapa yang kelaparan. Negara ini mempunyai pelbagai sumber, rakyat yang rajin, ramai orang baik yang sudi membantu dan pada masa yang sama, terlalu banyak pembaziran berlaku setiap hari.
“Kita hanya perlu memikirkan mereka yang tidak berupaya. Kemudian, bantu. Itulah Salahuddin. Beliau sentiasa mengingati mereka yang paling memerlukan bantuan,” ujarnya.
Beliau turut menambah, kehilangan bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu masih dirasai sehingga kini, malah menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang meninggalkan nilai serta kenangan yang sukar diganti.
“Ramai ahli politik datang dan pergi tetapi jarang ada yang meninggalkan nama, nilai dan kenangan yang begitu mendalam seperti Salahuddin Ayub.
“Sahabat saya, anda amat dirindui. Mata saya masih basah setiap kali mengenangkan Salahuddin. Ada kehilangan yang masa tidak mampu sembuhkan sepenuhnya. Kita hanya belajar meneruskan hidup sambil membawa kenangan itu bersama. Beliau tiada ganti,” katanya.
Untuk rekod, pada 23 Julai 2023, Salahuddin Ayub meninggal dunia pada usia 61 tahun selepas disahkan mengalami pendarahan otak.
Allahyarham sebelum itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan sempat menjalani pembedahan sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.23 malam.







