hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan rasmi dan menggempur premis Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) bagi menyiasat isu kerugian pelaburan bernilai RM200 juta agensi itu dalam syarikat eFishery Pte Ltd.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, setakat ini seramai 10 saksi utama terdiri daripada pegawai kanan KWAP dan Kementerian Kewangan (MOF) yang terbabit secara langsung dalam proses membuat keputusan pelaburan itu, sudah dipanggil untuk dirakam keterangan.
“Ia langkah di peringkat awalan penyiasatan.
Pegawai penyiasat juga sedang mengkaji keterangan serta sedang meneliti dokumen yang diambil.
“SPRM akan melaksanakan jejak aliran kewangan. Adalah dijangkakan lebih ramai lagi yang akan dipanggil termasuk ahli-ahli yang menganggotai Jawatankuasa Kewangan dan semua ahli Panel Pelaburan KWAP yang terbabit.
“Dokumen yang perlu diberikan penelitian adalah Kertas Cadangan Awal, Kertas Cadangan Akhir, Laporan Site Visit, Minit-Minit Mesyuarat berkaitan eFishery, Laporan Due Diligence, Dokumen Tatacara Pelaburan dan Dokumen Kewangan KWAP,” katanya.
Menurutnya, proses siasatan baru bermula dan masih berjalan serta masih terlalu awal untuk SPRM memberikan maklum balas.
“Beberapa pihak di luar negara juga sudah dikenal pasti untuk membantu siasatan. Justeru itu, SPRM akan mengemukakan permohonan Mutual Legal Assistance in Criminal Matters (MACMA) melalui Jabatan Peguam Negara kepada pihak berkuasa luar negara bagi membantu mendapatkan keterangan dari saksi yang terbabit.
“SPRM memohon kerjasama daripada semua pihak untuk memberikan ruang dan masa bagi kami menjalankan siasatan secara menyeluruh,” katanya.
Katanya, proses siasatan akan mengambil masa bagi siasatan kes sebegini.
“Saya mengarahkan pasukan untuk melakukan siasatan secara terperinci dari segala aspek, secara telus dan adil serta secara menyeluruh.
“Akan dipastikan di dalam proses penyiasatan itu, ‘will leave no stone unturned in their search for evidence’,”katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






