am@hmetro.com.my
Tawau: Dua laporan polis dibuat terhadap seorang pemilik akaun Facebook selepas didakwa memuat naik hantaran berunsur fitnah yang mengaitkan beberapa kes tangkapan polis dengan pucuk pimpinan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) semalam.
Laporan itu dibuat oleh Ketua Wanita PHRS, Norazian Dumit, dan Ahli Majlis Tertinggi PHRS, Jany Sahak, sekitar jam 2.30 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, selepas mendakwa hantaran berkenaan berunsur fitnah, berniat jahat dan tidak berasas serta boleh menjejaskan imej kepimpinan parti.
Menurut Norazian, beliau menyedari kewujudan hantaran itu ketika melayari laman Facebook sekitar jam 8 malam semalam, sebelum mendapati ia memaparkan gambar pucuk pimpinan parti bersama imej tangkapan polis dan prosiding mahkamah.
Beliau berkata, tindakan menggabungkan imej pemimpin parti dengan gambar berkaitan kes jenayah adalah satu bentuk dakwaan tidak berasas yang boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Tindakan itu adalah satu sangkaan jahat tanpa bukti kukuh dan boleh mencemarkan nama baik pucuk pimpinan parti,” katanya.
Sementara itu, Jany menyifatkan penyebaran hantaran berkenaan sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh mengundang salah faham dalam kalangan orang ramai terhadap individu dalam parti serta gabungan politik di negeri ini.
“Kami memandang serius perkara ini dan mahu tindakan tegas diambil terhadap individu terbabit sebagai pengajaran supaya media sosial tidak disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kandungan berkenaan, yang didakwa turut menyentuh isu sensitif termasuk 3R (kaum, agama dan institusi diraja), selain membabitkan imej Istana Negeri Sabah.
© New Straits Times Press (M) Bhd





