LONDON: Parti Buruh pimpinan Perdana Menteri, Keir Starmer mengalami kekalahan awal yang besar dalam pilihan raya tempatan semalam, sekaligus meningkatkan keraguan mengenai kedudukannya selepas dua tahun memegang jawatan.
Parti Buruh kehilangan sokongan secara ketara di kawasan yang melaporkan keputusan awal, termasuk di kubu tradisional di wilayah perindustrian lama di tengah dan utara England serta beberapa bahagian London.
Parti populis Reform UK yang dipimpin Nigel Farage memperoleh lebih daripada 300 kerusi majlis tempatan di England dan berpotensi menjadi pembangkang utama di Scotland dan Wales kepada Parti Kebangsaan Scotland (SNP) serta Plaid Cymru yang pro-kemerdekaan.
“Gambaran yang muncul hampir sama buruk seperti yang dijangka untuk Parti Buruh, atau lebih teruk,” kata Penganalisis Tinjauan Pendapat Britain, John Curtice.
Pilihan raya bagi 136 majlis tempatan di England, bersama Parlimen di Scotland dan Wales, merupakan ujian paling penting terhadap sentimen awam sebelum pilihan raya umum seterusnya yang dijadualkan pada 2029.
Beberapa ahli Parlimen Parti Buruh menyatakan jika parti itu berprestasi buruk di Scotland, kehilangan kuasa di Wales serta gagal mempertahankan sebahagian besar daripada kira-kira 2,500 kerusi majlis tempatan yang sedang disandang di England, Starmer bakal berdepan tekanan baharu untuk meletak jawatan atau sekurang-kurangnya menetapkan jadual perletakan jawatan.
Namun sekutu Starmer pantas mempertahankannya, menegaskan kini bukan masa sesuai untuk mencabar kepimpinannya.
Menteri Pertahanan John Healey berkata, pengundi tidak mahukan kekacauan berpotensi akibat pilihan raya kepimpinan.
“Saya fikir beliau masih mampu melaksanakannya, masih boleh membalikkan keadaan,” kata Healey kepada Times Radio.





