kartika@mediaprima.com.my
IKEA Malaysia mencatat jualan luar biasa sebanyak 8.6 juta karipap dalam tempoh setahun, sekali gus melakar pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori jualan karipap terbanyak di negara ini.
Pencapaian itu sekali gus mengukuhkan kedudukan karipap IKEA sebagai antara menu makanan paling popular dalam kalangan pengguna tempatan sepanjang tiga dekad operasinya di negara ini.
Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys berkata, kejayaan itu bukan sekadar mengenai angka jualan, sebaliknya mencerminkan hubungan rapat jenama berkenaan dengan rakyat Malaysia.
“Karipap IKEA sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian ramai pelanggan sama ada selepas membeli-belah atau ketika meluangkan masa bersama keluarga dan rakan.
“Pengiktirafan ini menggambarkan bagaimana makanan mampu menyatukan masyarakat dan mencipta kenangan bersama,” katanya pada Majlis Pengiktirafan MBOR bagi kategori ‘Jualan Karipap Terbanyak dalam Setahun’ di sini, semalam.
Menurutnya, walaupun berdepan peningkatan kos operasi dan ketidaktentuan ekonomi global, IKEA Malaysia terus komited mengekalkan harga makanan dan produk pada kadar mampu milik.
Katanya, harga karipap IKEA hanya meningkat 40 sen dalam tempoh 30 tahun, daripada RM1 ketika mula diperkenalkan kepada RM1.40 ketika ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd






