Pelakon Zahirah Macwilson pertahankan diri apabila namanya dalam senarai dilabel sebagai artis sombong oleh segelintir netizen di media sosial.
Memetik mStar Online, Zahirah berkata tidak adil untuk menjatuhkan hukuman terhadap seseorang berdasarkan interaksi singkat.
BACA: Zahirah Macwilson Gembira Ibu Sudah Berhijab
“Saya tak mahu komen terlalu banyak tentang perkara ini. Bagi saya, tidak adil untuk melabel seseorang itu sombong hanya berdasarkan interaksi yang berlaku dalam sesaat dua.
“Sombong itu satu perkataan yang berat dan besar maknanya. Tapi kalau di luar, saya sebenarnya okey saja berjumpa dengan orang ramai.
“Saya selalu ada pertemuan manis dengan peminat. Kebanyakan mereka terinspirasi dengan saya tapi sebenarnya, saya yang terinspirasi dengan mereka.
“Tak boleh nak komen bagi pihak mereka yang rasa begitu. Mungkin ketika itu waktu yang tidak sesuai atau saya sedang memikirkan perkara lain, tak pernah dilakukan dengan sengaja,” katanya.
Sementara itu, Zahirah meluahkan rasa kesal dengan tindakan melemparkan tuduhan tanpa memikirkan kesan terhadap individu berkenaan.
Tambahnya lagi, jika tiada perkara yang baik-baik untuk diperkatakan lebih baik berdiam sahaja.
“Kita di zaman media sosial yang terlalu mudah untuk menaip apa saja tanpa rasa tanggungjawab atau akauntabiliti. Orang boleh cakap sesuka hati tanpa nampak bagaimana kata-kata itu menyakitkan hati atau memberi kesan kepada mental seseorang.
“Saya rasa tak perlu cakap apa-apa kalau perkara itu bukan fakta, sekadar andaian atau tuduhan semata-mata, kecuali jika apa yang anda perjuangkan adalah satu kebenaran,” katanya.
Sumber: mStar Online






