Jasad mendiang Sarjit Singh selamat disemadikan

Jasad mendiang Sarjit Singh selamat disemadikan


JASAD mendiang bekas kapten dan jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan Sarjit Singh, selamat disemadikan di Shamshan Bhoomi Wake Hall, Jalan Loke Yew, di sini pada Selasa.

Jasad mendiang dibawa dari kediamannya di Subang Jaya pada jam 9 pagi dan tiba di pusat pembakaran mayat berkenaan kira-kira jam 10 pagi tadi.

Suasana hiba menyelubungi pekarangan krematorium itu sebaik jasad mendiang tiba apabila ahli keluarga termasuk isteri mendiang, Kulwant Kaur dan enam anak serta rakan-rakan tidak dapat menahan kesedihan semasa urusan persemadian disempurnakan.

Sebelum upacara pembakaran yang berlangsung kira-kira jam 1 tengah hari, tetamu diberi kesempatan memberikan penghormatan terakhir kepada bekas pemain kebangsaan itu.

Antara warga hoki yang memberikan penghormatan terakhir termasuklah Mohamad Sukri Abdul Mutalib, Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil, Maninderjit Singh dan Baljit Singh.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol; Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta Pengerusi Yayasan Pemerkasaan Pendidikan dan Kemahiran (YPPK), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Sepanjang kariernya sebagai pemain, Sarjit mewakili Malaysia pada dua temasya Sukan Olimpik, masing-masing di Los Angeles pada 1984 dan Barcelona pada 1992.

Beliau turut membantu skuad negara meraih pingat gangsa pada dua edisi Sukan Asia, iaitu di New Delhi pada 1982 dan Beijing pada 1990.

Selepas bersara sebagai pemain, Sarjit terus menabur bakti kepada arena hoki negara sebagai jurulatih dan pernah membimbing skuad kebangsaan dari 2007 hingga 2008.

Khidmatnya kembali ditagih apabila beliau diberi kepercayaan mengendalikan skuad kebangsaan dari Mac 2024 hingga Mac 2026. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top