July 27, 2024

Harap serangan terhadap bintang bola sepak tidak berulang

Harap serangan terhadap bintang bola sepak tidak berulang



zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap kejadian jenayah yang menimpa pemain bola sepak bukan trend baharu penjenayah.

Mengakui bimbang dengan kejadian berkenaan, Ahmad Samsuri berharap insiden sama tidak berulang dan mereka yang bersalah perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Katanya, kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku di dalam negara tanpa mengira status mangsa sama ada orang dikenali atau sebaliknya.

“Kita sebenarnya tak kiralah siapa juga tidak patut berlaku dalam negara kita ini dan kita rasa simpati kepada pemain-pemain bola yang menjadi mangsa termasuk yang terbaharu seorang pemain yang keretanya dirosakkan.

“Jadi saya tak tahu nak kata (sama ada) trend atau pun sebaliknya (tetapi) apa yang berlaku membimbangkan.

“Harapnya ini bukan satu trend baharu (dan) semua pihak harus menghormati pandangan di antara satu sama lain termasuk ahli sukan atau bukan ahli sukan,” katanya.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika ditanya mengenai kejadian menimpa pemain Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid.

Media sebelum ini melaporkan Akhyar diserang dan disamun individu tidak dikenali pada 2 Mei lalu diikuti seorang lagi pemain, Faisal Halim yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di Petaling Jaya.

Semalam, bekas kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim pula menjadi mangsa jenayah selepas cermin belakang keretanya diketuk tukul besi sehingga pecah di Johor Bahru.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top