PETALING JAYA: Harga bahan makanan di negara ini masih berada dalam julat terkawal walaupun sudah terdapat tanda peningkatan akibat ketidaktentuan situasi global.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, harga bahan makanan terpilih bergerak dalam julat antara penurunan 2.0 peratus hingga kenaikan 6.7 peratus bagi tempoh 4 hingga 6 Mei lalu berbanding minggu sebelumnya.
Beliau berkata, harga daging lembu menurun 1.4 peratus daripada RM36.40 sekilogram kepada RM35.88 sekilogram manakala harga ayam standard hampir tidak berubah pada sekitar RM9.50 hingga RM9.51 sekilogram.
“Namun, beberapa item mencatatkan kenaikan. Harga ikan kembung meningkat 3.9 peratus daripada RM16.76 sekilogram kepada RM17.42 sekilogram, udang putih meningkat 1.2 peratus kepada RM32.11 sekilogram.
“Sementara sawi meningkat 4.0 peratus kepada RM7.23 sekilogram, santan kelapa segar pula meningkat 6.7 peratus kepada RM16.88 sekilogram,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Akmal Nasrullah berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ahli Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) melahirkan kebimbangan walaupun statistik menunjukkan pergerakan harga makanan dilihat terkawal.
Ini kerana, katanya, Perdana Menteri bimbang sekiranya terdapat golongan rakyat di sesetengah kawasan terutamanya di luar bandar sudah mula merasai tekanan harga barangan harian.
“MTEN bersetuju supaya Ketua Setiausaha Negara dapat menyusul perkara ini bersama semua Ketua Setiausaha Kementerian bagi menyelaras inisiatif, usaha dan bantuan kerajaan sampai kepada kumpulan sasaran terutamanya golongan miskin dan rentan,” katanya. – UTUSAN



