JAKIM siasat kontroversi buku 'Wanita Syurga'

JAKIM siasat kontroversi buku 'Wanita Syurga'

JAKIM siasat kontroversi buku 'Wanita Syurga'


am@hmetro.com.my

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menjalankan siasatan berhubung kontroversi buku karya personaliti media sosial, Aisyah Hijanah, bertajuk ‘Wanita Syurga’ yang didakwa mengandungi kesilapan penulisan membabitkan ayat suci al-Quran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pihaknya mengambil serius akan dakwaan kecuaian berkenaan.

Beliau berkata, usaha penubuhan Majlis Penerbitan Buku-Buku Agama Malaysia yang sedang dilaksanakan kerajaan juga dijangka mampu mengelak kesalahan seumpama daripada berulang.

“Kita mengambil kira ini sesuatu yang serius membabitkan (dakwaan) kecuaian penulis menerbitkan sesuatu yang ada kesalahan di situ. Ini sangat penting dan kita cuba memantaunya dengan lebih baik.

“Jadi, ia berada dalam siasatan. Namun, kita ingin memberi peringatan kepada semua penulis bahawa dalam pada kita menggalakkan karya baharu berkait agama, ia perlu dipastikan kesahihannya.

“Saya mengambil maklum bahawa penulis sudahpun memohon maaf tetapi kita ingin memastikan ia tidak akan berlaku lagi selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Konvensyen Kebangsaan Profesion Peguam Syarie 2026 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Aisyah dilaporkan memohon maaf secara terbuka berikutan kontroversi buku tulisannya dan menarik balik penjualan buku itu.

Pada majlis hari ini, Perdana Menteri turut mengumumkan dana sebanyak RM1.5 juta kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Zulkifli berkata, dana itu akan dimanfaat bagi meningkatkan representasi kepada golongan yang memerlukan untuk membawa kes mereka ke Mahkamah Syariah.

“Secara umum, mereka yang menghadapi kesusahan serta tidak mempunyai kewangan mencukupi, boleh rujuk kepada Persatuan Peguam Syarie Malaysia untuk mendapatkan representasi.

“Mahkamah Syariah melakukan pelbagai pendekatan dan inovasi untuk memudahkan akses, antaranya pelaksanaan mahkamah laluan pantas (fast track) dengan ribuan kes berjaya diselesaikan sehari.

“Selain itu, kita juga ada pendigitalan yang memudahkan lagi akses kepada Mahkamah Syariah,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Zulkifli berkata, pelaksanaan laluan pantas Mahkamah Syariah berjaya mencapai 97 peratus kadar penyelesaian kes.

Beliau berkata, usaha pendigitalan perkhidmatan Mahkamah Syariah juga terus diperkukuhkan melalui pelaksanaan sistem e-Syariah Versi 3, antaranya membabitkan modul penting e-Filing dengan pendaftaran kes tanpa perlu ke kaunter mahkamah.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top