IPOH: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sedang memperkukuh strategi pemasaran pelancongan negara dengan memberi tumpuan kepada pasaran berprestasi tinggi dan stabil seperti China, Indonesia, Jepun dan India.
Timbalan Menteri Motac, Chiew Choon Man berkata, bagi mempelbagaikan pasaran, usaha melalui Tourism Malaysia itu turut diperluaskan ke pasaran jarak jauh termasuk Rusia, Jerman dan Australia.
Beliau berkata, langkah itu dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada satu-satu pasaran terutama ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi dan ketegangan geopolitik.
“Kerajaan amat memahami kebimbangan terhadap impak krisis bekalan global dan ketegangan geopolitik di Asia Barat pada ketika ini, namun industri pelancongan Malaysia terus membuktikan daya tahan yang kukuh.
“Ini dibuktikan melalui rekod bagi tempoh suku pertama tahun ini apabila sebanyak 10.6 juta ketibaan pelawat antarabangsa, meningkat 5.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya ketika berucap pada Festival Budaya Malaysia @ Perak 2026 (FBM@Perak) di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.
Festival yang berlangsung selama empat hari bermula 25 hingga 28 Jun itu dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Menurut beliau, walaupun ketibaan pelancong dari Asia Barat menurun 27.2 peratus berikutan ketegangan semasa, keadaan itu berjaya diimbangi oleh pertumbuhan stabil daripada pasaran lain di seluruh wilayah utama
Katanya, ASEAN kekal sebagai penyumbang terbesar ketibaan pelawat dengan peningkatan 3.1 peratus manakala Asia Timur mencatat pertumbuhan 19.2 peratus.
“Asia Tengah, Oceania dan Eropah turut merekodkan pertumbuhan positif,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Motac akan terus bekerjasama rapat dengan pemain industri bagi menangani cabaran operasi dan tekanan kos yang dihadapi sektor pelancongan.
“Komitmen ini juga menyokong penuh hasrat kerajaan Perak yang menyasarkan ketibaan 11.6 juta pelawat sepanjang tahun ini, meliputi 10.5 juta pelawat domestik dan 1.1 juta pelawat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, mengulas penganjuran FBM@Perak, beliau berkata, pihaknya berbangga dengan komitmen tinggi kerajaan Perak dalam menterjemahkan dan menyelaraskan Pelan Perak Sejahtera 2030 dengan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN).
Katanya, melalui penerapan tema ‘Seni, Budaya dan Warisan’ dalam acuan Sejahtera Sosial, kedua-dua agenda besar ini terbukti berpasak pada visi yang sama, berteraskan gagasan Malaysia Madani.
“Sinergi utuh seumpama ini memastikan kebudayaan kita tidak lagi terperangkap sebagai khazanah masa lalu, sebaliknya bangkit sebagai pemacu ekonomi dinamik yang mampu mengangkat martabat jati diri rakyat Perak di persada dunia.
“Sinergi pelancongan budaya ini sangat penting kerana apabila kita memperkasakan budaya tempatan seperti tarian dabus, labu sayong, seni sulaman tekat benang emas mahupun keunikan gastronomi Ipoh, kita sebenarnya sedang membina produk pelancongan mampan yang bernilai tinggi.
“Ini adalah strategi serampang dua mata untuk kita memelihara jati diri bangsa dan pada masa yang sama, melonjakkan ekonomi akar umbi melalui industri kreatif,” katanya. – UTUSAN






