Harga Minyak Malaysia Lebih Rendah Daripada Qatar Dan Arab Saudi

Harga Minyak Malaysia Lebih Rendah Daripada Qatar Dan Arab Saudi


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan telah menunaikan janji untuk memastikan harga petrol di Malaysia lebih rendah berbanding negara pengeluar minyak utama seperti Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut beliau, perbandingan harga bahan api perlu dibuat dengan negara pengeluar minyak, bukannya negara yang mempunyai struktur ekonomi dan mekanisme penetapan harga berbeza.

“Jangan kita banding dengan negara yang bukan pengeluar minyak yang tinggi harganya. Harus banding dengan Qatar dan Saudi.

“Harga minyak di Malaysia ini lebih rendah daripada Qatar dan Arab Saudi. Itu dah fakta yang pertama yang harus diingat. Cananglah bagaimanapun, kenyataannya sekarang harga minyak kita lebih rendah.

“Betul, masa kita turun, minta turun RM1.50, harga minyak di Arab Saudi 50 sen. Sekarang kita RM1.99, harga di Arab Saudi lebih daripada RM2.40 dan Qatar, malah UAE, dua bulan lalu menaikkan harga minyak, UAE pengeluar minyak dan gas yang besar.

“Jadi ini kenyataan ekonomi yang berubah. Jadi kalau katakan, saya janji dulu minyak harus lebih rendah dari Arab Saudi. Sudah ditunaikan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang membangkitkan kenyataannya ketika menjadi pembangkang berhubung isu harga bahan api.

Mengulas bantuan kepada rakyat, Anwar berkata kerajaan kini turut menanggung perbelanjaan yang jauh lebih besar menerusi Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), subsidi bersasar RON95 melalui BUDI serta subsidi diesel.

Bagaimanapun, beliau enggan membuat perbandingan terus dengan pentadbiran terdahulu kerana keadaan ekonomi dan kedudukan kewangan negara pada setiap tempoh adalah berbeza.

Dalam masa sama, Anwar berkata kerajaan sentiasa bersedia mempertimbangkan cadangan yang mampu menambah baik dasar sedia ada, termasuk jika terdapat mekanisme lebih berkesan untuk mengurangkan harga minyak.

“Saya tidak pernah mengatakan bahawa kita mempunyai semua ubat yang mujarab dalam ekonomi. Kita harus dengar dan kita ubah suai,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak terlalu yakin dengan kedudukan politik masing-masing kerana penentuan akhirnya tetap berada di tangan rakyat.

“Jangan masing-masing terlalu yakin. Saya pun tidak mahu terlalu yakin dan saya anggap Hulu Terengganu pun jangan terlalu yakin. Kita tawakal kepada Allah,” katanya






Source link

OR

Scroll to Top