PKBM perkenal Liga Super BMX Racing ganti siri YSD


PERSEKUTUAN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memperkenalkan Liga Super BMX Racing bagi memastikan kesinambungan pembangunan sukan BMX Racing negara selepas Yayasan Sime Darby (YSD) memutuskan untuk menamatkan kerjasama dan penganjuran YSD Track Series serta BMX YSD 2026.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, dua pusingan pertama liga berkenaan dijadual berlangsung pada 28 dan 29 November ini, manakala program berkenaan akan diperluaskan pada 2027.

Beliau berkata, keputusan YSD itu sememangnya sesuatu yang mendukacitakan, namun PKBM tetap menghargai sumbangan yayasan berkenaan terhadap pembangunan sukan berbasikal negara selama ini.

“Walau sebesar mana sekalipun sumbangan sesuatu pihak, rasa hormat antara semua pemegang taruh serta penghormatan terhadap badan induk kebangsaan adalah asas kepada hubungan kerja yang profesional dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan.

Amarjit berkata, isu yang membawa kepada keputusan berkenaan hanya dimaklumkan kepada PKBM pada penghujung Mac lalu, sebelum pihaknya mendapatkan penjelasan lanjut dan memberi ruang secukupnya untuk perkara itu diselesaikan.

“Bagaimanapun, pembangunan atlet akan terus berjalan. Tiada laluan pembangunan seharusnya bergantung kepada mana-mana individu atau organisasi, tidak kira besar atau kecil sumbangannya.

“Rakan kerjasama dan program mungkin berubah, tetapi tanggungjawab PKBM sebagai badan induk kebangsaan untuk membangunkan sukan serta menyediakan peluang kepada atlet akan terus kekal,” katanya.

Bagi acara berbasikal trek, PKBM akan terus memperkukuh laluan pembangunan sedia ada, khususnya menerusi program JCM yang dilaksanakan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai platform mengenal pasti dan membangunkan bakat muda.

Sementara itu, Liga Super BMX Racing akan menyediakan pentas pertandingan yang lebih tersusun untuk pelumba muda bermula dengan dua pusingan pada November sebelum diperluaskan tahun depan.

“Pesanan kami kepada pelumba, ibu bapa, jurulatih dan kelab adalah jelas – pembangunan akan diteruskan. PKBM akan memastikan peluang kekal tersedia dan laluan untuk generasi baharu pelumba Malaysia terus bergerak ke hadapan,” katanya.

PKBM turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan semua pihak yang mempunyai matlamat sama dalam memajukan sukan berbasikal Malaysia berteraskan profesionalisme, kerjasama dan saling menghormati.



Source link

OR

Scroll to Top