Harga sayur naik 3 kali ganda

Harga sayur naik 3 kali ganda



am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Kekurangan bekalan ketika musim perayaan Aidilfitri di negeri ini menyebabkan harga meningkat hingga tiga kali ganda.

Tinjauan di Pasar Wakaf Che Yeh mendapati beberapa jenis sayur seperti timun dijual RM6 sekilogran berbanding sebelum ini RM4, kacang panjang daripada RM8 kepada RM12 sekilogram, terung daripada RM6 kepada RM8 sekilogram, manakala cili padi pula RM10 kepada RM14 sekilogram.

Selain itu, petola dijual RM8 sekilogram berbanding sebelum ini RM2 dan bendi RM6 kepada RM10 sekilogram.

Peniaga, Siti Zawiah Wahab, 39, beberapa jenis sayur dijual mengalami peningkatan antaranya timun, kacang panjang, terung, dan juga cili padi sejak dua hari lalu.

“Harga naik apabila permintaan tinggi menjelang musim perayaan. Apabila permintaan naik mendadak akan berlaku kekurangan bekalan, jadi pembekal naikkan harga mereka.

“Sebelum ini saya jual timun pada harga RM4 sekilogram, namun bermula semalam terpaksa menaikkan harga kepada RM6 sekilogram, kacang panjang daripada RM8 kepada RM12 sekilogram, terung daripada RM6 kepada RM8 sekilogram, manakala cili padi pula RM10 kepada RM14 sekilogram,” katanya ketika ditemui di Pasar Wakaf Che Yeh, di sini, hari ini.

Seorang lagi peniaga, Rosmah Deraman, 52, berkata, bagi menampung permintaan pelanggan, dia mengambil bekalan sayur-sayuran dengan pembekal di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong.

“Harga sayur yang dijual adalah bergantung kepada harga harian yang diperoleh daripada pembekal.

“Tidak dinafikan, harga sayur sekejap naik dan sekejap turun, tapi selalunya kalau sudah naik susah pula nak turun,” katanya.

Sementara itu, peniaga santan, Siti Eshah Mohd Noor, 45, berkata, sejak tahun lalu sehingga kini bekalan kelapa masih belum stabil menyebabkannya terpaksa menaikkan harga santan yang dijual kepada RM18 sekilogram berbanding sebelum ini RM10 sekilogram.

“Selain santan saya juga menjual kelapa parut yang sebelum ini dijual RM7 sekilogram, tetapi sekarang terpaksa dinaikkan kepada RM15 sekilogram.

“Walaupun harga agak mahal, namun kebanyakan pelanggan memahaminya,” katanya.

Katanya, pembekal menjual harga sebiji kelapa RM3.50 dan ada ketikanya terpaksa mengehadkan bekalan disebabkan ia tidak mencukupi terutamanya ketika Aidilfitri.

“Ramai pelanggan yang menghantar pesanan melalui aplikasi WhatsApp untuk menempah santan, namun sebahagiannya terpaksa ditolak kerana bekalan kelapa tidak mencukupi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top