July 23, 2024

Hargai jasa 9,839 pendidik

Hargai jasa 9,839 pendidik



suliati@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan menerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) komited menghargai jasa 9,839 pendidik dengan penganjuran Hari Anugerah Pendidik MARA 2024.

Bertemakan Pendidik Murabbi, Pemangkin Masyarakat Madani, majlis itu inisiatif MARA dalam memberi pengiktirafan terhadap pencapaian pendidik yang mencipta kecemerlangan untuk menyumbang kepada agenda pembangunan negara.

Bersempena Anugerah Pendidik MARA 2024 itu juga dalam usaha meningkatkan kecekapan dan memberi inspirasi kepada warga pendidik MARA, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Skim Latihan Pemerkasaan Pendidik MARA yang memberi fokus terhadap pemerkasaan pedagogi, penguasaan kandungan pengajaran dan kepimpinan instruksional.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata menerusi skim latihan itu, warga pendidik MARA yang berpotensi, berpeluang menjalani latihan secara berfokus sama ada di dalam atau luar negara.

“Bagi kursus di luar negara, terdapat lima institusi dan negara utama yang dikenal pasti sebagai lokasi latihan iaitu University Of Helsinki di Finland yang memfokuskan kepada pedagogi inovatif; Universiti of Tokyo, Jepun (bidang sains, matematik, kejuruteraan dan Teknologi (STEM)); Technical University of Munich, Jerman dan National Institute of Education, Nanyang Technology, China yang masing-masing memfokuskan kepada Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta University of Havard, Amerika Syarikat untuk bidang kepimpinan pendiidkan.

“Sebagai permulaan, seramai 19 pendidik MARA sudah dipilih mengikuti pendidikan lanjutan TVET terutama dalam internet pelbagai benda (IoT), teknologi kecerdasan buatan (AI) dan robotik di China bermula bulan ini sehingga September.

“Oleh itu, diharap menerusi program ini, ia dapat meningkatkan kompetensi dan memberi inspirasi kepada 9,800 pendidik MARA di seluruh negara,” katanya pada sidang media sempena Hari Anugerah Pendidik Mara 2024 yang berlangsung di Hotel Premiera.

Turut hadir, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah MARA Datuk Sri Azhar Abdul Manaf.

Majlis Hari Anugerah Pendidik MARA 2024 itu menyaksikan empat anugerah disampaikan iaitu Anugerah Pendidik Cemerlang Mara, Anugerah IPMA Terbaik, Anugerah Khas Pendidik MARA dan Anugerah Tokoh Pendidik MARA.

Dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Pendidik MARA 2024, Ustaz Isahak Othman merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada MARA kerana mencalonkan dan memilihnya sebagai penerima anugerah tertinggi itu.

Katanya yang sudah sudah berkhidmat selama 30 tahun bersama MARA, berharap rakan, warga MARA khususnya pendidik menjadikan perkhidmatan mereka ini sebagai perkhidmatan yang cemerlang bersama dengan sifat amanah dan ikhlas.

“Semoga dengan jalan ini saja menjadikan ia sebagai ibadah kepada Allah SWT.

“Saya sentiasa mendoakan semoga MARA sentiasa di rahmati dan menjadi organisasi Bumiputera yang cemerlang dan diredai oleh Allah dunia dan akhirat,” katanya menerusi tayangan video disiarkan pada majlis itu.

Bagi penerima Anugerah Khas Pendidik MARA, Mohd Khairis Harun, 45, beliau bersyukur dan gembira dengan penganugerahan itu.

Menurutnya, penganjuran Anugerah pendidik MARA itu langkah terbaik menghargai titik peluh warga pendidik MARA.

Katanya, menjadi pendidik dalam era teknologi yang berkembang pantas adalah sangat mencabar.

“Dengan adanya penganugerahan ini, ia menjadi pemangkin semangat kepada semua warga pendidik untuk lebih berinovasi dan mengajar dengan lebih baik.

“Anugerah ini juga menghargai titik peluh dan usaha warga pendidik sekali gus dapat menambah motivasi kepada semua untuk terus bersemangat melahirkan generasi yang lebih berilmu,” katanya yang sudah 22 tahun menjadi pendidik MARA.

Mohd Khairis turut menitipkan nasihat buat semua warga pendidik supaya sentiasa meningkatkan ilmu dengan mencari ilmu baharu yang bersesuaian dengan peredaran masa dan perkembangan teknologi yang semakin mencabar ini.

Sementara itu, Pengetua Cemerlang Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping Perak, Azman Manap, 54, menyifatkan Anugerah Institusi Pendidikan MARA(IPMA) Terbaik 2024 yang dimenangi tidak hanya membayar segala titik peluh warga maktabnya tetapi menjadi perangsang untuk terus berusaha melahirkan generasi bumiputera yang lebih berpotensi terutama dalam bidang sains dan teknologi.

“Mendidik anak bangsa sekarang berbeza tidak hanya disebabkan keadaan semasa tetapi juga daripada pelajarnya. Ini kerana zaman kita dulu lebih kepada analog dan zaman mereka adalah digital.

“Oleh itu, sebagai pendidik kita perlu mendekatkan jurang itu. Saya juga berharap semua pendidik tidak menjadikan teknologi ini sebagai ancaman kerana ia boleh menjauhkan kita dengan pelajar sekarang,”katanya.

Berkongsi pengalaman berharga selama 30 tahun menabur bakti di MARA, dapat membantu masyarakat keluar dari lingkaran kemiskinan adalah perkara yang cukup bermakna buatnya.

“Dengan sistem pendidikan dan infrastruktur pembelajaran yang kondusif disediakan MARA dapat mengeluarkan masyarakat dari garis kemiskinan.

“Dapat membantu pelajar daripada no body, kepada somebody adalah pencapaian yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Itulah juga hadiah paling hebat untuk diri saya sepanjang 30 tahun berkhidmat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top