July 18, 2024

Noh pulangkan paku buah keras, sifatkan Puad Speaker `low class’

Noh pulangkan paku buah keras, sifatkan Puad Speaker `low class’


KUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar yang kini menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memulangkan paku buah keras terhadap Datuk Mohd. Puad Zarkashi yang menyindir beliau memberi alasan `low class’ apabila memilih menyertai parti tersebut.

Menurut Noh, tanpa disedari, Mohd. Puad juga ialah seorang Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang `low class’ apabila sering mencampuri urusan politik parti setiap hari.

Jelas beliau, berdasarkan sistem parlimen Westminster, United Kingdom atau mana-mana parlimen di negara Komanwel, apabila seseorang Ahli Parlimen dilantik sebagai Speaker House of Commons atau Speaker Negara berkenaan, maka beliau tidak lagi mencampuri urusan isu-isu politik kepartian.

Ujarnya, Speaker berkenaan mesti neutral dan impartial iaitu tidak memihak kepada mana-mana pihak.

“Apa yang sering Puad (Speaker DUN Johor) buat ialah, mencampuri urusan politik parti setiap hari dengan komen-komen yang kadang-kala dilihat lucu dan menghiburkan, dengan harapan Puad mahu dirinya dilihat terus relevan di arus politik perdana negara.

“Berkemungkinan, Puad masih lagi mengidam mahu jadi Menteri Kabinet Kerajaan Persekutuan satu hari nanti,” katanya menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Noh menafikan dakwaan Mohd. Puad beliau menjual nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam keputusan menyertai parti Bersatu.

Sebaliknya, ujar Noh, beliau sudah lama kecewa dengan UMNO yang disifatkan tidak berubah dan isu adendum Najib merupakan antara perkara yang mengecewakannya terhadap UMNO.

“Dalam isu adendum ini, Najib sekali lagi terperdaya dengan drama dan wayang dari rakan-rakan disekeliling beliau.

“Adalah mustahil menteri-menteri UMNO tidak tahu sama ada adendum itu wujud atau sebaliknya,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menggesa Mohd. Puad menyatakan keputusan MKT UMNO yang membincangkan isu adendum dan pembebasan Najib di dalam Mesyuarat MT.

“Mana pergi gerakan meminta tandatangan sokongan kepada Najib, untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuang Agong (YDPA)? Sudah lupa Puad?” katanya.

Dakwa Noh lagi, MT UMNO juga pernah membuat keputusan untuk pimpinan UMNO mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk membebaskan Najib.

“Semasa MT (UMNO) buat keputusan ini, adakah Puad bersetuju ataupun adakah Puad berani cadangkan sepatutnya jangan melibatkan YDPA (Yang di-Pertuan Agong) tetapi sebaliknya pimpinan UMNO hendaklah pergi berjumpa PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lembaga Pengampunan,” soalnya.

Dalam pada itu, Noh turut menyifatkan sebarang keputusan MT UMNO berhubung isu addendum dan pembebasan Najib hanyalah mainan wayang.

“Sebagai ahli MT, adakah Puad tahu adendum YDPA untuk menyambung penahanan Bossku (Najib) di rumah wujud atau tidak?

“Mengapa Kerajaan Madani tidak mahu mengesahkan sama ada adendum YDPA wujud ataupun tidak, sedangkan ia melibatkan kuasa YDPA dalam Perlembagaan Negara.

“Saya yakin jika bertukar kerajaan, isu adendum ini akan terbongkar sama ada wujud atau tidak,” katanya.

Dalam pada itu, Noh turut menyangkal dakwaan Mohd. Puad berhubung tindakan beliau menyertai Bersatu kerana mahu menjadi calon parti itu di kerusi Parlimen Tanjong Karang.

“Sekiranya saya mahu jadi calon, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan Pilihan Raya Negeri Selangor, saya telah pun ditawarkan untuk bertanding tetapi saya tolak,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top