Chattanooga, Tennessee: Pemain sayap Sepanyol yang dibelenggu kecederaan, Nico Williams mengakui menerusi media sosial bahawa kecederaan terbaharu yang menjejaskan penyertaannya di Piala Dunia adalah antara hari paling buruk dalam hidupnya.
Bagaimanapun, rakan sepasukannya, Marcos Llorente berkata, Williams sudah mampu mengukir senyuman hasil sokongan padu daripada seluruh skuad.
Williams yang musimnya sering diganggu kecederaan masih belum diturunkan dalam kesebelasan utama di Piala Dunia apabila pengendali Sepanyol, Luis de la Fuente mengambil pendekatan berhati-hati untuk menurunkan pemain berusia 23 tahun itu.
Selepas dimasukkan sebagai pemain gantian pada penghujung perlawanan terakhir, masalah kecederaan pangkal paha yang dialaminya kembali berulang.
Sepanyol menewaskan Uruguay 1-0 pada Jumaat lalu untuk muncul juara kumpulan dan mengatur pertemuan pusingan 32 terbaik menentang Austria, namun kemenangan itu dicemari kecederaan yang menimpa Williams dan Yeremy Pino.
“Hari ini adalah antara hari paling buruk dalam hidup saya. Saya cedera lagi selepas melalui tahun yang sangat sukar,” tulis Williams di Instagram.
Llorente ketika ditanya mengenai keadaan rakannya di kem latihan Sepanyol di Chattanooga berkata situasi sebenar tidak semestinya dapat dilihat menerusi media sosial.
“Di media sosial, anda hanya membaca beberapa perkataan dan sebenarnya tidak mengetahui bagaimana keadaan seseorang itu.
“Memang ini tempoh yang amat sukar buatnya selepas segala yang dilalui sepanjang tahun ini. Namun dia kini menghadapinya dengan lebih baik dan senyumannya sudah kembali.
“Sudah tentu jauh di sudut hatinya dia sedih kerana tidak dapat membantu pasukan, tetapi kami semua sentiasa membantunya, sama seperti Yeremy.
“Akhirnya, seramai 26 pemain datang ke sini dan 26 pemain juga akan pulang bersama. Kumpulan ini sangat penting. Jika kami pergi lebih jauh, mungkin dia masih boleh membantu pasukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






