Incheon: Peminat bola sepak Korea Selatan yang berang dengan penyingkiran pasukan itu di pusingan pertama Piala Dunia 2026 menyambut kepulangan skuad terbabit dengan satu mesej buat ketua jurulatih, Hong Myung-bo bahawa ‘masanya sudah tamat’.
Myung-bo yang juga bekas pertahanan pasukan kebangsaan Korea Selatan meletakkan jawatan, semalam selepas Korea Selatan menamatkan peringkat kumpulan dengan satu kemenangan dan dua kekalahan, sekali gus memusnahkan harapan skuad yang diketuai Son Heung Min untuk mara lebih jauh.
Korea Selatan tersingkir selepas gagal layak ke pusingan kalah mati sebagai salah satu daripada lapan pasukan tempat ketiga terbaik di peringkat kumpulan kejohanan itu.
Myung-bo berjalan keluar melalui pintu ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon di bawah pemerhatian media dan enggan menjawab soalan wartawan.
Peminat mengejek dan melaungkan “Hong keluar!” ketika beliau berjalan keluar dari lapangan terbang, tetapi memberikan tepukan kepada pemain yang berada di belakang.
“Terima kasih atas segala usaha anda!,” jerit seorang peminat ketika pemain muncul, berbeza dengan ejekan yang ditujukan kepada Myung-bo.
Polis menutup laluan dari dalam terminal hingga ke bas yang menunggu di luar ketika beberapa penunjuk perasaan berkumpul berhampiran kawasan itu.
“Bola sepak Korea Selatan sudah mati,” itu tulisan yang tertera pada sepanduk diangkat peminat yang sudah menunggu berjam-jam di lapangan terbang.
“Hong, anda mesti letak jawatan,” laung orang ramai sambil memukul gendang untuk menguatkan bantahan mereka.
Pengakuan Myung-bo selepas perlawanan bahawa beliau bergelut untuk memahami apa yang berlaku tidak banyak meredakan kritikan.
Peletakan jawatan beliau pada Ahad juga tidak memuaskan Kim Gi-mo yang datang ke lapangan terbang untuk meluahkan kekecewaannya.
“Saya mempersoalkan sama ada peletakan jawatan itu ikhlas, memandangkan sikapnya ketika membuat pengumuman itu.
“Dia merosakkan festival yang hanya datang sekali setiap empat tahun. Saya datang ke sini untuk melihat orang yang bertanggungjawab atas perkara itu,” kata Gi-mo kepada AFP.
© New Straits Times Press (M) Bhd





