Reaksi kecewa Gabriel selepas sepakannya jaguh melepasi.palang sekali gus menyaksikan PSG mempertahankan trofi Liga Juara-Juara. Foto: Agensi
LEGENDA Arsenal, Thierry Henry mempersoalkan keputusan taktikal bekas kelabnya itu yang memilih pertahanan, Gabriel Magalhaes sebagai pengambil sepakan penalti penentu pada final Liga Juara-Juara Eropah menentang Paris Saint-Germain (PSG).
Arsenal tewas 3-4 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 hingga tamat masa tambahan di Budapest, sekali gus terus menangguhkan impian menjulang trofi Eropah pertama kelab itu.
Gabriel yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan kelima gagal menyempurnakan tugas apabila rembatannya tersasar tinggi, sekali gus menghadiahkan kejuaraan kepada PSG.
Henry menyifatkan keputusan itu sebagai sesuatu yang sukar difahami, terutama dalam perlawanan berintensiti tinggi seperti final Eropah.
“Dalam situasi seperti ini, anda perlukan pemain yang benar-benar bersedia secara mental dan pengalaman. Saya tidak pasti mengapa pilihan itu jatuh kepada Gabriel pada saat paling penting,” katanya.
Beliau turut menegaskan susunan pengambil penalti sepatutnya berpaksikan pemain yang lebih biasa berdepan tekanan di pentas besar.
“Bukan soal menyalahkan sesiapa tetapi dalam perlawanan seperti ini, setiap keputusan kecil boleh mengubah segalanya,” tambahnya.
Kegagalan itu menyaksikan Arsenal terus menunggu kejuaraan Liga Juara-Juara pertama mereka, meskipun musim ini berjaya menamatkan kemarau 22 tahun untuk menjulang Liga Perdana Inggeris.
PSG pula muncul juara Eropah buat kali kedua berturut-turut selepas menang 4-3 menerusi penentuan penalti.






