Hojlund sudah lupakan memori musim lalu.

Hojlund sudah lupakan memori musim lalu.


PENYERANG Manchester United, Rasmus Hojlund mengakui memerlukan lebih sokongan dalam jentera serangan musim lalu, kini bersedia sepenuhnya untuk bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama The Red Devils.

Spekulasi mengenai pencarian penyerang baharu oleh United terus hangat diperkatakan, termasuk minat terhadap penyerang RB Leipzig, Benjamin Sesko.

Namun, Hojlund tampil memberikan respon tepat dalam dan luar padang dalam aksi menentang Bournemouth di Soldier Field, Chicago, pada Khamis.

Penyerang antarabangsa Denmark itu menjaringkan satu gol dan hampir menambah satu lagi ketika membantu United mencatat kemenangan 4-1 ke atas Bournemouth dalam aksi kedua Siri Musim Panas Liga Perdana Inggeris (EPL).

Musim lalu, Hojlund meledak 10 gol dalam 52 penampilan dalam semua kejohanan ketika United menamatkan kempen EPL di kedudukan ke-15.

Namun, dia tetap tekad untuk kekal dan berjuang merebut tempat dalam pasukan kendalian Ruben Amorim.

“Perancangan saya jelas iaitu kekal dan berjuang untuk tempat saya, biar apa pun yang berlaku.

“Persaingan adalah perkara biasa dan saya mengalu-alukannya kerana ia menjadikan saya lebih tajam. Saya bersedia dan berasa cergas,” katanya selepas kemenangan United ke atas Bournemouth.

Sejak menyertai United pada 2023, Hojlund telah menjaringkan 26 gol dalam 95 penampilan kompetitif dengan purata satu gol setiap empat perlawanan.

Bagaimanapun, angka itu termasuk dua siri konsisten iaitu lima gol dalam empat perlawanan musim lalu dan lapan dalam lapan perlawanan musim sebelumnya.

Jika dua tempoh itu dikeluarkan, baki hanya tinggal 13 gol daripada 83 penampilan.

Segelintir pihak berpendapat terlalu banyak tanggungjawab dipikul Hojlund sejak awal, sedangkan dia sepatutnya disokong penyerang berpengalaman.

“Ketika saya datang, (Anthony) Martial masih ada, tetapi dia sering cedera. Maka saya terpaksa bermain lebih banyak.

“Sudah tentu saya mahu bermain setiap perlawanan, tetapi saya juga perlukan bantuan, terutama pada awal musim,” ujarnya.

Hojlund sebelum itu menunjukkan keazaman tinggi dalam jelajah pramusim di Amerika Syarikat.

Dalam aksi menentang West Ham di Stadium MetLife pada Ahad, dia hampir menjaringkan gol selepas rembatan derasnya menggegar tiang gol.

Menentang Bournemouth, dia hanya mengambil masa lapan minit untuk meledak gol, hasil umpanan lintang rakan senegara, Patrick Dorgu.

Dia juga mendakwa menjaringkan gol kedua meskipun secara rasmi diberikan kepada Amad apabila rembatan pemain itu dikatakan terkena kakinya sebelum masuk ke gawang.

“Itu memang gol saya. Saya tak boleh elak, bola terbias saya. Itu gol saya,” kata Hojlund.

Selepas menerima kritikan mengenai jumlah jaringan musim lalu, Hojlund berusaha mengutip seberapa banyak gol yang boleh dalam setiap perlawanan.

Namun, jelas kelihatan perubahan ketara dalam prestasi Hojlund apabila tampak lebih yakin berbanding hujung musim lalu ketika bergelut dengan keyakinan diri dan kelihatan hilang sentuhan di depan gawang.

Dengan 61 gol di peringkat kelab dan antarabangsa, prestasi Hojlund mungkin belum sehebat bintang seperti Erling Haaland yang sudah melepasi 100 gol pada usia sama namun dia jauh mendahului pemain seperti Harry Kane, yang hanya menjaringkan 53 gol menjelang usia 22 tahun.

“Saya masih muda. Kadangkala orang lupa saya baru 22 tahun.

“Tak semua penyerang menjaringkan 100 gol pada usia ini tapi saya sudah belajar banyak. Perkembangan itu jelas dalam permainan, saya makin mahir dari segi asas.

“Musim lalu memang sukar untuk semua. Saya tahu saya patut lakukan lebih baik tapi ini permainan berpasukan, kami akan bangkit dan berada di landasan tepat sekarang,” kata Hojlund.

 



Source link

OR

Scroll to Top