syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Adam Corrie Lee berkongsi khabar duka apabila memaklumkan ibunya sudah meninggal dunia, menerusi satu hantaran di platform media sosialnya hari ini.
Dalam perkongsian berkenaan, Adam meluahkan rasa pilu atas kehilangan itu dan memohon ruang untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada urusan pemergian mendiang ibunya.
“Dengan hati yang berat, saya memaklumkan bahawa ibu tercinta saya sudah pergi buat selama-lamanya.
“Buat sementara waktu ini, segala urusan terpaksa saya tangguhkan bagi memberi ruang sepenuhnya kepada urusan pemergian mendiang ibu saya,” tulisnya.
Pelakon itu turut memohon maaf atas segala kesulitan yang mungkin timbul berikutan situasi berkenaan, selain menzahirkan penghargaan atas doa dan sokongan yang diterima.
“Saya mohon ampun dan maaf atas segala kesulitan yang berlaku. Terima kasih atas segala doa dan sokongan semua,” tulisnya.
Sementara itu, peminat dan rakan-rakan artis membanjiri ruangan komen dengan ucapan takziah dan kata-kata semangat buat Adam serta keluarganya.
Setakat ini, maklumat lanjut mengenai lokasi pengebumian dan atur cara terakhir mendiang ibu pelakon berkenaan belum diumumkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






