Villa cipta kemenangan dramatik, tamatkan rekod kemenangan Arsenal

Villa cipta kemenangan dramatik, tamatkan rekod kemenangan Arsenal


Birmingham: Emiliano Buendia menamatkan rekod tanpa kalah 18 perlawanan Arsenal dengan gol minit terakhir memastikan kemenangan dramatik 2-1 Aston Villa ke atas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Skuad Mikel Arteta ketinggalan selepas gol Matty Cash pada separuh masa pertama di Villa Park sebelum Leandro Trossard masuk sebagai pemain gantian untuk menyamakan kedudukan buat Arsenal selepas rehat.

Perlawanan sengit itu menyaksikan kedua-dua pasukan melepaskan peluang sebelum pemain sayap Argentina, Buendia, mengambil kesempatan daripada kelekaan pertahanan Arsenal untuk menjaringkan gol kemenangan pada detik akhir perlawanan.

Kekalahan ini adalah yang pertama dialami Arsenal dalam semua pertandingan sejak tewas kepada Liverpool 0-1 pada 31 Ogos.

Villa sering menjadi duri dalam daging Arsenal dalam beberapa musim terakhir, merampas mata pada saat-saat penting dalam perebutan kejuaraan.

Ia juga pertembungan yang mengecewakan bersama bekas pengurus Arsenal, Unai Emery, yang kini membawa Villa muncul sebagai pencabar gelaran tidak dijangka selepas tujuh kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.

Arsenal kini hanya tiga mata di hadapan Villa yang berada di tangga kedua, manakala Manchester City di tangga ketiga dan boleh merapatkan jurang jika menewaskan Sunderland di Etihad Stadium, nanti.

Emery menafikan sebarang dakwaan bahawa pasukannya berada dalam perlumbaan kejuaraan minggu ini, menyifatkan Arsenal sebagai pasukan terkuat di Eropah.

Namun kemenangan Villa ini jelas menunjukkan hasrat mereka, apabila berdepan Arsenal dan memberi tamparan hebat terhadap peluang Arsenal meraih gelaran.

Ia masa yang sesuai untuk menentang skuad Utara London itu, yang sedang menghadapi krisis di posisi pertahanan tengah dengan William Saliba, Gabriel dan Cristhian Mosquera semua tidak dapat diturunkan.

Jurrien Timber dipindahkan dari pertahanan kanan ke pertahanan tengah bersama Piero Hincapie, namun Arsenal tetap kelihatan tidak berada di tahap terbaik mereka.

Arteta sebelum ini berkata Arsenal “sedia” untuk membuat pembelian pada jendela perpindahan Januari jika terdapat peluang untuk “menambah baik” skuad.

Pertambahan pertahanan dan pilihan serangan tambahan mungkin diperlukan jika Arteta mahu membawa Arsenal yang kerap dihantui kecederaan meraih gelaran liga pertama sejak 2004.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top