georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyanyi, Hafiz Suip, 35, berkongsi khabar duka apabila ibunya Halizawati Salleh, 62, meninggal dunia, malam tadi.
Hafiz atau nama sebenarnya Mohd Hafiz Mohd Suip menerusi hantaran di Facebook mengesahkan pemergian bonda tersayangnya itu.
“Innalillahiwainnailaihirojiun… Hilangnya doa seorang ibu,” tulisnya ringkas.
Menurut sumber terdekatnya, arwah menghembuskan nafas terakhir kura-kira jam 9.40 malam di Hospital Umum Kuching, Sarawak selepas dimasukkan ke hospital kerana penyakit kencing manis.
Penyanyi Awan Nano itu menerima ucapan takziah daripada orang ramai yang turut bersimpati dan mendoakan seluruh keluarga Hafiz tabah berdepan masa sukar.
Sebelum ini, ibunya yang berkerusi roda sempat membuat kejutan dengan muncul di atas pentas ketika Hafiz sedang menyanyikan lagu ‘Pelangi Petang’, lagu kesukaan ibunya pada konsert solonya, baru-baru ini.
Pengarah SAH Entertainment, Sufi Rashid, menerusi hantaran di platform Threads turut menzahirkan rasa sedih dan ucapan takziah kepada Hafiz serta keluarganya.
“Saya dimaklumkan bahawa ibu kepada Hafiz Suip kembali ke rahmatullah. Semoga Hafiz sekeluarga diberi kekuatan menghadapi ujian ini,” katanya.
Allahyarham Halizawati sebelum ini menghidap penyakit diabetes kronik hingga menyebabkan kaki kirinya terpaksa dipotong ke paras lutut.
Hafiz juga berpindah ke Kuching, Sarawak bagi menjaga kedua ibu bapanya yang uzur.
© New Straits Times Press (M) Bhd






