DALAM senyap dan penuh duka, sebuah konflik yang kurang disorot sebelum ini di peringkat global iaitu peperangan saudara antara Sudanese Armed Forces (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF).
Peperangan yang meletus sejak 15 April 2023 itu kini telah menyebabkan krisis kemanusiaan yang amat meruncing.
Pendakwah, Ustaz Elyas Ismail dalam hal ini menjelaskan, keadaan yang sangat menyayat hati dan menyedihkan kepada umat Islam akibat pergolakan kedua-dua pihak yang telah berlarutan bertahun-tahun lamanya.
USTAZ ELYAS
“Ia telah meragut ratusan ribu nyawa termasuk orang awam, wanita serta kanak-kanak kecil yang tidak mengerti punca konflik tersebut.
“Malah, jutaan penduduk turut dipaksa meninggalkan rumah dan tanah air mereka akibat krisis yang tiada kesudahan ini,” jelasnya pada rakaman video yang dimuat naik di Facebook miliknya baru-baru ini.
Menurutnya, peristiwa yang berlaku di Sudan itu sepatutnya menjadi peringatan besar kepada umat Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia, tentang betapa bernilainya nikmat keamanan dan keharmonian yang sering dilupakan.
Tambah pendakwah itu, rakyat Malaysia turut diuji dengan suasana kacau-bilau seumpama di Sudan suatu ketika dahulu.
“Pada tahun 1948 hingga 1960, kita diuji dengan tempoh darurat di Tanah Melayu apabila ancaman komunis telah menghuru-harakan penduduk kampung, (manakala) ladang musnah dibakar ketika berada di bawah ancaman komunis.

KONFLIK perang saudara di Sudan yang tidak berkesudahan menyebabkan jutaan penduduk keluar dari kediaman masing-masing. Foto PBS News
“Lebih menyayat hati apabila Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahman Hashim dibunuh pada tahun 1974,” jelasnya
Justeru Ustaz Elyas menyeru umat Islam agar terus memelihara keharmonian dan hubungan erat sesama rakyat serta memperbanyakkan doa agar negara ini terus berada dalam lindungan ALLAH SWT.
“Kita mesti menjaga keharmonian dan ukhuwah sesama kita. Laksanakan ibadah bersama, hidupkan suasana berjemaah dan jangan leka dengan nikmat yang sedang kita kecapi ini.
“Sentiasalah berdoa kepada ALLAH SWT dengan doa: ‘Ya ALLAH, selamatkanlah kami, agama, iman, tauhid, rezeki dan tubuh badan kami’,” pesannya.
Tambahnya lagi, tanpa keamanan, segala nikmat dunia menjadi tidak bermakna. Oleh itu, setiap insan perlu mensyukuri keamanan yang dikecapi dan tidak sesekali lalai dengannya.
Ringkasan AI
- DALAM senyap, konflik peperangan saudara melibatkan Sudanese Armed Forces dan Rapid Support Forces menyebabkan krisis kemanusiaan Perang sejak 15 April 2023, meragut ratusan ribu nyawa termasuk orang awam, wanita, kanak-kanak Jutaan penduduk terpaksa meninggalkan rumah akibat krisis ini Peristiwa di Sudan dianggap sebagai peringatan tentang nilai keamanan kepada umat Islam termasuk di Malaysia Ustaz Elyas Ismail menyeru umat Islam untuk memelihara keharmonian dan terus berdoa demi keamanan negara






