Iltizam besar Norza

Iltizam besar Norza


TAN Sri Mohamad Norza Zakaria yang secara rasmi mengekalkan jawatan sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menzahirkan iltizam besar untuk memacu badan itu ke tahap terbaik.

Beliau yang merupakan calon tunggal bagi jawatan itu diberi mandat untuk menerajui MOM buat penggal ketiga berturut-turut bagi sesi 2025-2029.

“Kita mahu pasukan yang efektif dan berkesan sebab saya tidak mahu ada penumpang, tidak boleh bergantung kepada presiden dan timbalan sahaja.

“Kita perlukan unit besar dengan gabungan semua latar belakang. Ini penting untuk mengukuhkan pergerakan olimpik di negara ini.

“Saya melihat pelbagai latar belakang ini sebagai satu acuan yang menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pemilihan jawatankuasa eksekutif pada mesyuarat agung MOM kali ke-44 di Kuala Lumpur pada Sabtu.

Mohamad Norza turut menggariskan empat agenda untuk dilaksanakan dalam tempoh empat tahun termasuk Olympic House di Bukit Jalil yang dijangka siap antara 24 hingga 36 bulan.

Beliau berkata, MOM akan melaksanakan persiapan lebih awal menjelang Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA 2027.

“Saya juga ingin mengukuhkan hubungan dengan negara serantau di ASEAN dan peringkat Asia.

“Pemodenan pentadbiran akan turut dilaksana menerusi Setiausaha Agung yang baharu, Datuk Mohd Nasir Ali,” katanya.

Beliau turut menjelaskan salah faham peranan MOM yang sebenarnya tidak mendapat dana daripada kerajaan kerana ia merupakan badan bebas yang tidak berasaskan kepada keuntungan.

“MOM salah satu daripada 206 negara di bawah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang bertindak sebagai badan induk memayungi dan pemilik kepada temasya sukan termasuk Olimpik,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top