Indeks Pengeluaran Perindustrian naik 3.6% pada November 2024

Indeks Pengeluaran Perindustrian naik 3.6% pada November 2024


PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 3.6 peratus pada November 2024, didorong oleh pertumbuhan output yang berterusan dalam sektor pembuatan, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

IPP menerbitkan statistik daripada tiga sektor iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik. 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan IPP terus meningkat 3.6 peratus pada November 2024 selepas mencatatkan 2.0 peratus pada bulan sebelumnya, mengekalkan momentum positif selama sebelas bulan berturut-turut. 

Katanya, peningkatan ini disokong oleh sektor Pembuatan yang berkembang sebanyak 4.6 peratus (Oktober 2024: 3.3 peratus), disertai dengan peningkatan 3.9 peratus dalam output elektrik (Oktober 2024: 1.9 peratus). 

“Namun begitu, pengeluaran sektor perlombongan kekal dalam aliran menurun walaupun dengan pertumbuhan negatif yang lebih kecil iaitu 0.8 peratus pada November 2024 (Oktober 2024: -2.8 peratus). 

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, IPP tumbuh 0.5 peratus daripada 1.7 peratus pada Oktober 2024,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, output berorientasikan eksport yang menyumbang dua pertiga daripada sektor pembuatan berkembang sebanyak 5.6 peratus pada November 2024 berbanding 3.3 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya. 

Jelasnya, pengembangan ini disokong terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang meningkat 8.8 peratus,diikuti oleh pembuatan kok dan produk petroleum bertapis pada 2.8 peratus dan Pembuatan produk plastik yang meningkat 8.7peratus. 

“Pengembangan tahun ke tahun ini mencerminkan prestasi eksport negara yang melonjak 10.3 peratus pada November 2024. Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport memulih 0.1 peratus selepas merekodkan negatif 1.4 peratus pada Oktober 2024. 

“Namun begitu, industri berorientasikan domestik terus bertumbuh sederhana sebanyak 2.6 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 3.3 peratus pada Oktober 2024,” ujarnya.

Mohd Uzir berkata, peningkatan industri ini diterajui terutamanya oleh pembuatan produk pemrosesan makanan (5.6 peratus), pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (4.9 peratus) dan pembuatan produk galian bukan logam lain (2.9 peratus). 

“Pengeluaran sektor perlombongan pada November 2024 menurun sebanyak 0.8 peratus dipengaruhi oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat sebanyak 3.8 peratus (Oktober 2024: -7.5 peratus) manakala, indeks gas asli meningkat 1.2 peratus (Oktober 2024: 0.4 peratus). 

“Sementara itu, penjanaan elektrik berkembang 3.9 peratus tahun ke tahun pada November 2024 selepas mencatatkan peningkatan 1.9 peratus pada bulan sebelumnya,” jelasnya.

Beliau merumuskan, bagi tempoh sebelas bulan pertama tahun ini, IPP bertumbuh lebih baik kepada 3.7 peratus (Januari – November 2023: 0.8 peratus) dengan kesemua sektor mencatatkan peningkatan, iaitu indeks perlombongan (0.7 peratus), indeks pembuatan (4.2 peratus) dan indeks elektrik (5.8 peratus).-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top